BANGI, 19 Rabiulawal 1444H, Ahad – Gerakan Tanah Air (GTA) mempersoal kemampuan UMNO melaksanakan segala janji dibuat dalam Belanjawan 2023, yang disifatkan jelas untuk pilihan raya.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, belanjawan yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu sememangnya terlihat baik, namun jika pelaksanaan tidak cekap peruntukan tak dapat membawa hasil yang dijanji.
Beliau mendakwa, kerajaan kini kekurangan dana, korup dan kurang kecekapan untuk melaksanakan projek-projek.
“Di masa Najib, kerajaan UMNO gagal dalam pengurusan kewangan. UMNO meminjam RM42 bilion dengan mengguna 1MDB. Sebenarnya hutang kerajaan dahulu tidak pernah lebih daripada satu trilion.
“Sekarang, membayar faedah sahaja pun memerlu berbilion ringgit tiap tahun. Hutang pokok tidak dibayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dakwa bekas Perdana Menteri itu, kerap kali peruntukan untuk pembangunan digunakan bagi membayar faedah pinjaman sehingga menyebabkan pembangunan kurang dana dan tidak dapat dilaksana.
“Lebih-lebih lagi kos meningkat kerana rasuah. Banyak cara-cara untuk mengurangkan kos tidak diamal.
“Di masa yang sama nilai ringgit jatuh. Ini bermakna bayaran hutang dalam ringgit meningkat dan juga kos import,” dakwanya.
Dr Mahathir berkata, GTA yang belum didaftar tiada pilihan selain daripada menyokong belanjawan itu kerana jika tidak sudah tentu rakyat akan kecewa dan menolak gerakan berkenaan.
Bahkan, parti-parti lawan juga tidak diberi hak untuk membahas peruntukan-peruntukan yang diberi kepada semua lapisan masyarakat menerusi belanjawan itu.
“Sebab itu, walaupun GTA menerima belanjawan ini tetapi banyaklah perubahan dan tambahan perlu dilakukan.
“InsyaAllah, GTA dapat melaksana bajet terutama bantuan-bantuan untuk rakyat jika UMNO tidak jadi kerajaan dan diganti oleh kerajaan GTA (Pejuang) jika GTA diberi kemenangan dan mendiri kerajaan,” katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment