NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mampukah Anwar gugat Peja di Tambun


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas mengumumkannya sendiri semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Ipoh, Perak, kelmarin.

Penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka kekal bertan­ding, bermakna Tambun bakal menyaksikan antara perebutan paling panas pada PRU15.

Persoalannya, mampukah Anwar mengalahkan Ahmad Faizal atau Peja di Tambun yang menang pada PRU14 atas tiket PH dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru. Ketika itu, Peja menewaskan penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.

MENTERI BESAR

Pengumuman Anwar kelmarin datang bersama jangkaan beliau berdepan laluan sukar di Tambun, di kubu kuat Peja yang bukan sekadar sebagai Ahli Parlimen tetapi pernah memegang jawatan Menteri Besar.

Sebagai Ahli Parlimen, Ahmad Faizal menjaga kebajikan penduduk Tambun yang meliputi DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi.

Sudah pasti pelbagai bantuan dan sumbangan ketika rakyat terbeban semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19, dikenang pengundi di Tambun.

Selain itu, keperibadian beliau disenangi rakyat. Jika turun padang tidak kekok bergaul mesra dengan rakyat, malah nama panggilannya ‘Peja’ sudah seperti satu brand atau jenama yang kukuh dalam kalangan pengundi di Tambun.

“Mak cik-mak cik kalau sebut nama Peja, mereka cukup suka. Respons pengundi di sini begitu terhadap beliau,” kata seorang pengundi di Tambun.

Peja juga kerap turun padang dan membantu Orang Asli menerusi pelbagai bantuan dan program yang diadakan untuk kelompok pengundi itu.

Pusat khidmat beliau sebagai Ahli Parlimen di Meru Raya sentiasa terbuka untuk rakyat me­ngadukan masalah selain pejabat di kawasan DUN Hulu Kinta.

Kerana kesibukan tugas sebagai menteri, Ahmad Faizal menyediakan pasukan atau kru dari pusat khidmat yang sentiasa bersedia membantu rakyat semasa ketiadaan beliau di kawasan.

Kata sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mereka mengalu-alukan Anwar bertanding di Tambun dan menjanjikan saingan sengit buat Pengerusi PKR itu.

“Kami tetap lawan, kami tiada masalah untuk berdepan Anwar kerana sudah bekerja di sini sejak awal lagi sedang Anwar baru hendak bertapak di sini,” katanya. – UTUSAN



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo