NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia ulangi gesaan pembaharuan PBB sempena ulang tahun ke-77 PBB

Menurut Kementerian Luar, Malaysia ingin memperbaharu komitmennya terhadap PBB dengan memainkan peranan lebih aktif yang akan menyumbang ke arah kerjasama antarabangsa. - Gambar fail/FB Wisma Putra

PUTRAJAYA: Malaysia mengulangi gesaannya agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan pembaharuan seiring perubahan hari ini dan cabaran kompleks yang dihadapi masyarakat global, bertepatan dengan ulang tahun ke-77 PBB hari ini.
Pembaharuan akan menjadi kaedah terbaik dalam memulihkan kecekapan dan keberkesanan PBB, terutamanya dengan memansuhkan kuasa veto.
"Malaysia percaya bahawa reformasi PBB sudah lama tertangguh. Dunia yang kita diami kini telah berubah secara drastik berbanding pada awal penubuhan PBB. Cabaran hari ini lebih besar, kompleks dan saling berkaitan.
"Terang dan jelas bahawa PBB perlu mengekalkan kedudukannya sebagai simbol demokrasi antara lain, bagi menangani dan menyelesaikan konflik di seluruh dunia melalui cara yang adil dan saksama.
"Justeru, cabaran-cabaran kini hanya boleh ditangani melalui kerjasama lebih erat dan pengukuhan semula sistem multilateralisme," menurut kenyataan Kementerian Luar di sini, Isnin, sempena ulang tahun ke-77 PBB atau juga dikenali sebagai Hari PBB.
Tema Hari PBB tahun ini "Membina Kembali Bersama Demi Keamanan dan Kemakmuran", mengiktiraf keperluan masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama bagi membina semula dunia yang lebih baik, kesan daripada impak COVID-19; atas dasar keamanan dan kemakmuran untuk semua.
Menurut Kementerian Luar, Malaysia ingin memperbaharu komitmennya terhadap PBB dengan memainkan peranan lebih aktif yang akan menyumbang ke arah kerjasama antarabangsa, berdasarkan prinsip saling menghormati dan undang-undang antarabangsa seperti digariskan dalam Piagam PBB.
Malaysia telah menjadi ahli yang aktif dan bertanggungjawab dalam memenuhi komitmennya dalam merealisasikan tujuan serta prinsip PBB, seperti termaktub dalam Piagam PBB dan akan terus mempromosikan tiga tonggak utama - keamanan dan keselamatan; hak asasi manusia; dan pembangunan - yang penting dan saling berkait.
"Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam menyelesaikan konflik dan pertikaian di rantau ini. Pembinaan kepercayaan dan keyakinan adalah penting untuk mewujudkan Keluarga Dunia yang adil, stabil dan aman," menurut kenyataan itu.
Di sebalik beberapa peristiwa penting dan mesyuarat penting, Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW) dan Persidangan ke-10 Kajian Semula Ahli-ahli Perjanjian Tanpa-percambahan Senjata Nuklear (NPT) yang diadakan pada Jun dan Ogos tahun ini merupakan mesyuarat yang amat signifikan.
Bagaimanapun, kekurangan hasil yang bermakna merupakan peringatan terhadap keperluan untuk memperkukuhkan lagi usaha bagi pelucutan senjata nuklear.
Mengenai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, Malaysia berazam untuk melaksanakan dan memenuhi mandatnya dengan PBB bertindak sebagai titik tumpuan terhadap usaha bersama.
Dalam usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030; dan menetapkan sasaran untuk mencapai 31 peratus bagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.
"Selain itu, Malaysia akan menubuhkan Pusat SDG Kebangsaan bagi memantau kemajuan pelaksanaan SDGs." menurut kenyataan itu.
Malaysia telah menyertai badan dunia itu selepas mencapai kemerdekaan pada 1957.
Hari PBB disambut setiap tahun pada 24 Okt bagi memperingati Piagam PBB yang dikuat kuasa pada 1945.
-- BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo