POKOK SENA: Desas desus pertikaian dalaman calon Pilihanraya Umum Ke-15 parti AMANAH bagi Parlimen Pokok Sena hampir terjawab apabila penyandangnya, Dato’ Mahfuz Omar dikatakan bakal tersingkir daripada senarai pencalonan.
Beberapa sumber terdekat menjelaskan bahawa sudah tiba masanya parti AMANAH mengetengahkan calon anak muda di Parlimen tersebut memandangkan persaingan sengit yang dihadapi dalam pilihan raya umum yang lalu.
Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Mahfuz Omar adalah Sdr Faiz Fadzil, anak kepada Dato’ Haji Fadzil Noor serta Sdr Ridzwan Arshad, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Negeri Kedah.
Dalam PRU ke-14 yang lalu, Parlimen Pokok Sena menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara parti AMANAH, UMNO dan PAS yang diwakili masing-masing oleh Mahfuz Omar, Said Ali Said Rastan dan Radhi Mat Din.
Dato’ Mahfuz Omar mendapat kemenangan tipis dengan hanya 5,558 undi majoriti. Jumlah tersebut secara relatifnya sangat rendah untuk mengatasi kemungkinan permuafakatan saat akhir UMNO dan PAS di sana.
“Bacaan awal menyaksikan Mahfuz bakal tewas di Pokok Sena. Perlu ada calon muda yang lebih berketrampilan. Faiz lebih sesuai kerana legasi bapanya cukup kuat di Kedah,” petik satu sumber yang tidak didedahkan identitinya.
Walau bagaimanapun, sumber yang lain tidak menolak faktor defisit keyakinan akar umbi terhadap prestasi Mahfuz Omar sebagai wakil rakyat. Kemelut pertikaian dalaman parti yang berlaku ketika ini memaksa Dato’ Ir Phahrolrazi sendiri turun bagi menyelesaikan pertikaian yang melanda.
AMANAH dijangka akan kekal mewakili Pakatan Harapan di P008 Pokok Sena.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment