NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahathir dan Anwar saling memerlukan, kata penganalisis


Gandingan bekas mentor dan anak didik, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim adalah pasangan ideal sebagai gandingan terakhir kerana mereka saling memerlukan sekali lagi demi menewaskan BN pada PRU ke-15 akan datang menurut penganalisis politik.

Bagaimanapun, seorang lagi pemerhati politik berpendapat bahawa Mahathir yang kini berusia 97 tahun itu hanya akan menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) kerana pengaruhnya yang semakin pudar.

Bercakap kepada Malaysiakini,pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata adalah bagus bagi pihak yang saling bermusuhan untuk melupakan persengketaan dan bersatu semula untuk menjatuhkan BN serta Perikatan Nasional (PN).

Mengambil maklum bahawa PH masih mampu meraih undi Melayu di kerusi bandar tetapi tidak begitu banyak berbanding di kawasan luar bandar, Azizuddin berkata Mahathir boleh menghulurkan bantuan.

Mohd Azizuddin Mohd Sani


"Mahathir masih ada pengaruh di kawasan pedalaman Melayu dan golongan tua masih mahukan dia, dia boleh dapat undi daripada golongan ini.

"Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah mereka (Anwar dan Mahathir) antara lainnya bersama-sama untuk berkompromi mengenai strategi," katanya kepada Malaysiakini.

Penganalisis politik itu berkata dia tidak jelas dengan pandangan pihak yang enggan kerjasama antara kedua-dia tokoh itu, kerana menurutnya, Anwar dan Mahathir tidak semestinya menyertai pilihan raya sebagai gabungan tetapi masih boleh membentuk kerjasama atau perjanjian.

"Mereka masih mempunyai masa, sebelum hari penamaan calon," katanya.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 5 Nov sebagai hari penamaan calon dan 19 Nov untuk pengundian.

Sehari selepas pengumuman SPR, Mahathir memberi isyarat kepada pengerusi PH untuk meneroka kemungkinan membentuk pakatan politik.

Anwar, sebagai balasan, berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah bertemu dengan Mahathir dan penekanan PH adalah untuk memerangi BN dan PN.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu bersedia untuk menghadapi pilihan raya negara tanpa Mahathir dan Pejuang.

Mahathir jejas undi bukan Melayu?

Berkongsi pandangan sama, Azizuddin, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata PH akan berdepan kesukaran meraih undi Melayu tanpa bantuan Mahathir.

"Mereka memerlukan Mahathir dengan harapan untuk meraih sebahagian undi Melayu. Walaupun itu mungkin masih tidak mencukupi, ia lebih baik daripada tiada.

"Mahathir tidak dapat meraih undi bukan Melayu lagi, jadi dia juga memerlukan PH," katanya.

Oh Ei San



Sambil menekankan kepentingan hubungan politik simbiotik dalam menumpaskan BN dan PN, Oh menjangka Mahathir tetap akan menjejaskan sokongan bukan Melayu PH.

"Tetapi memandangkan majoriti PH di kerusi bukan Melayu pada 2018 begitu memberangsangkan, mungkin ia masih boleh memenangi kebanyakan kerusi bukan Melayu mereka dan merampas beberapa lagi kerusi berpaksikan Melayu.

"Mahathir adalah 'deadweight', tetapi dengan umpan memikat di hujung kail yang lain," jelasnya.

'Liabiliti kepada PH'

Berkongsi sentimen yang sama ialah Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi, yang memberitahu Malaysiakini bahawa bekas perdana menteri dua kali itu hanya akan menjadi liabiliti kepada PH kerana dia tidak lagi memiliki pengaruh yang pernah dipegangnya dalam arena politik.

Awang Azman berpendapat Mahathir lebih memerlukan Anwar, bukan sebaliknya.

"Dia (Mahathir) dapat melihat bahawa PH adalah blok politik yang kuat. Tanpa Mahathir, PH semakin kuat.

"Anwar tidak perlukan Mahathir, tetapi Mahathir yang perlukan Anwar. Tanpa Mahathir, sama ada PH menang atau kalah, mereka akan melakukannya dengan bangga dan bermaruah," katanya.

Awang Azman Awang Pawi


Penganalisis sosiopolitik itu percaya bahawa sekiranya Anwar dan Mahathir membentuk pakatan, ia tidak akan dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang sebenar. 

"Tidak perlu Anwar bergabung dengan Mahathir. Saya bimbang Mahathir akan berbohong kepada Anwar lagi," ujar Awang Azman.

Sebelum Langkah Sheraton pada 2020, yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran PH, Mahathir berada di bawah tekanan untuk menunaikan janji yang telah dibuatnya ketika PH menawan Putrajaya - untuk menetapkan garis masa bagi Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri.

Untuk rekod, hubungan antara dua tokoh politik terkemuka itu kecoh sejak beberapa dekad lalu.

Anwar pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan semasa 22 tahun pertama Mahathir memegang jawatan tetapi dipecat pada 1998 selepas berselisih dengan Mahathir mengenai cara mempertahankan ekonomi daripada krisis kewangan Asia.

Melangkah menjadi pembangkang, Anwar dengan cepat mendapat sokongan daripada sebahagian besar orang Melayu Islam, kumpulan etnik dominan negara berbilang budaya, untuk membentuk gerakan Reformasi, sebelum dipenjarakan setahun kemudian atas tuduhan rasuah dan liwat yang menurutnya bermotifkan politik.

Pada tahun-tahun selepas pembebasannya, Anwar membina semula pengikutnya dan hampir mengalahkan bekas perdana menteri Najib Razak, seorang lagi anak didik Mahathir, dalam pilihan raya umum 2013.

Dua tahun kemudian, Anwar dipenjarakan, sekali lagi atas tuduhan liwat yang dinafikannya.

Dia dibebaskan atas pengampunan diraja sejurus selepas Najib kehilangan kuasa dalam pilihan raya 2018.


Sumber I Malaysiakini 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo