NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahasiswa harus ambil tahu



INI
 nasihat untuk mahasiswa dan anak muda. Mahasiswa harus ambil tahu mengenai politik. Anda semua akan mengundi, tidak boleh semberono memberikan undi kepada parti yang anda tidak tahu asas perjuangannya.

Anak muda sekarang meletakkan skeptikal terhadap politik, kata mereka politik ini kotor. Tambahan pula Parlimen dibubarkan ketika tempoh kegawatan ekonomi dan bencana ini. Kita lihat saja protes melalui boikot turun undi dan undi rosak.

Inilah hakikat negara demokrasi, kekuasaan politik melalui undian rakyat diperlukan. Baik buruk politik yang telah dipersembahkan, inilah sistem yang perlu kita hadapi. Melalui kekuasaan politik boleh mendaulatkan Islam dan menyenangkan rakyat, begitu juga sebaliknya.

Orang politik mudah tunduk dengan keinginan anak muda. Undi anda penting untuk mengubah landskap politik negara. Buktinya wujud pemimpin populis dan pertaruhan lebih ramai calon anak muda. 

Jangan terlalu ‘bodoh’sehingga dipengaruhi dengan sentimen yang direka. Bezakan antara kaca dan permata. Silap pilih dapat luka, mungkin juga akan berputih mata. 

Jangan terpengaruh dengan apa yang dibawa oleh media. Setiap gelombang yang dibuat ada naratifnya. Dapatkan kesahihan berita melalui dua pihak. Jangan terburu-buru memberikan komen dan membuat kesimpulan.

Mengundi tidak boleh dengan satu dua penilaian atau ikut kawan, apatah lagi kerana dengar cakap-cakap orang. Kita mesti ada prinsip dan asas yang solid.

Pergi dengar ceramah-ceramah politik. Lihat senarai calon yang dipertaruhkan dan rekod lampau parti yang telah dibuktikan. Jika dah yakin dengan parti pilihan, berikan kudrat anda untuk kerja-kerja lapangan.

Pilihlah calon yang berkredibiliti, kompeten dan ada agama. Mungkin anda sudah boleh menilai dengan kes-kes mahkamah yang ditunjukkan.

Lihat juga parti, bukan dengan gahnya calon semata-mata. Calon yang menang tetap akan membawa agenda parti. Mereka tidak boleh melawan cakap parti, seperti yang anda telah lihat hari ini.

Mahasiswa jangan takut nak berpolitik, sekarang bukan zaman cengkaman penguasa yang jahat. Mahasiswa jangan tak ambil tahu mengenai politik, ini zaman yang meletakkan anak muda sebagai pengemudinya.

Mungkin anda sudah muak dengan politik, tetapi kuasa politik tetap penting untuk digunakan. Jangan sampai kita dijajah semula baru nak tengadah. Penjajahan pemikiran sudahpun berlaku, lihat sahaja budaya buruk yang dibawa di twitter dan tiktok.

Anda mahu tunggu apa lagi? Leka dengan dunia sendiri dan bangga menonton filem Mat Kilau berulang kali?

Bangunlah, pergi berikan bakti kepada tanah warisan bangsa ini dengan mendokong parti yang betul. Inilah masanya, masa kita membuat pilihan.

MUHAMMAD IQBAL HAKIM NADHRI 
Pengerusi
Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo