KUALA TERENGGANU: Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, pelumba 'drag' yang maut ketika perlumbaan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, di sini tengah hari tadi, pernah melahirkan kerisauan mengenai nasib dua anaknya jika dia meninggal.
Abangnya, Muammar Ghadafi Jamal, 44, memaklumkan arwah pernah berkongsi video keakrabannya dengan dua anak, masing-masing berusia tujuh dan 11 tahun menerusi laman sosial Facebook.
"Katanya 'macam mana dengan anak, siapa akan jaga' kalau dia mati. Tak sangka pula apa yang diucapkan itu jadi kenyataan hari ini," katanya yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan bekas Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B).
Muhamad Hafez Jamal maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang pokok ketika menyertai perlumbaan Battle Of The King (BOTK) 2022 anjuran MUSC Motorsport di Litar Perlumbaan Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari.
Muammar Ghadafi Jamal yang ditemui media di luar Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berkata beliau menerima berita kemalangan itu daripada rakan sepasukan arwah sebelum bergegas ke sini menerusi penerbangan dan tiba jam 5.30 petang tadi.
"Pada awalnya, tak terfikir kemalangan itu sehingga menyebabkan kematian kerana penganjuran acara seperti ini dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mencukupi. Namun, sudah ajalnya, kami reda.
"Memang sedih kerana kematiannya tidak disangka-sangka, tetapi apa yang berlaku adalah takdir dan ketentuan Ilahi dan terima dengan tabah," katanya mewakili keluarga memohon maaf jika arwah ada melakukan apa-apa kesalahan.
Beliau berkata, kali terakhir bertemu adiknya yang juga pengusaha restoran di Ipoh, Perak adalah pada Khamis lalu, iaitu hari arwah bertolak ke Terengganu bagi menyertai acara berkenaan.
"Arwah adik sangat aktif (dalam sukan permotoran), sudah lebih 20 tahun berkecimpung sebaik tamat persekolahan Tingkatan Lima. Bukan sahaja sebagai peserta, dia juga terlibat dalam penganjuran sukan berkenaan di sekitar Perak," katanya.
Selain dua anak, Allahyarham yang juga anak ketiga daripada lima beradik meninggalkan isteri, Norhasyimah, 37.
Bedah siasat selesai jam 8.30 malam tadi dan jenazah akan dibawa pulang ke Perak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Meru Raya, awal pagi esok.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment