Lorong Seni @ Lorong Panglima beroperasi pada setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan bagi pencinta seni, mungkin ini lokasi tepat untuk anda. - Astro AWANI |
IPOH: Sebut sahaja Concubine Lane, boleh kata ramai tahu tempat unik itu terletak di Ipoh, memaparkan pelbagai barangan berasaskan seni kepada pengunjung.
Namun, mungkin tak ramai tahu, berhadapan dengannya, terdapat sebuah lorong dinamakan Lorong Seni yang menjual pelbagai karya seni berkaitan Ipoh, Perak dan Malaysia.
Terletak di Jalan Panglima, betul-betul di sebelah Medan Selera Dato’ Sagor, lorong itu mula beroperasi pada Julai 2022 namun sayangnya, jumlah pengunjung tidaklah semeriah Concubine Lane.
Adakah kerana hujan yang menyebabkan pengunjung tidak ramai pada Sabtu lepas atau kurangnya promosi membuatkan ramai tidak tahu kewujudan Lorong Seni?
Persoalan itu mungkin boleh dijawab pihak yang menguruskannya terutamanya kerajaan negeri kerana kalau dinilai pada lokasi, ia cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah antara dua lokasi pelancongan popular di Ipoh.
Malah, produknya juga unik kerana ia adalah hasil tangan peniaga sendiri dan tentunya tidak dapat dibeli di lokasi lain.
Bagi seorang peniaga, Soon Woon Sin, dia akui perniagaan di sana tidaklah begitu teruk namun berpendapat promosi perlu giat dilakukan kerana menurutnya, tidak banyak promosi melibatkan kawasan pelancongan itu.
“Minggu ini cuti kan, jadi ramai sikitlah. Kalau minggu biasa, pun ada bisnes tapi kurang sikit.
“(Apa yang diperlukan?) Lebihkan promosi. Saya rasa publisiti tak cukup lagi sebab ramai tak tahu.
“Saya pun tak tahu kalau kawan tak beritahu. Baru satu kali saja saya nampak di akhbar, itu pun masa majlis pembukaan, saya nampak di akhbar, selepas itu tiada dah. SOT OUT
Seorang lagi peniaga, Muhamad Syukri Samsuddin berkata, produk dari Studio Tangsi dan Galeri Al-Biruni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar itu mendapat sambutan baik namun promosi berterusan masih perlu dilakukan.
“Kalau nak berikan pengunjung lebih ramai, mungkin panjangkan masa lagi. Ikutkan kita baru mula pada Julai, Plan B (Concubine Lane) sudah lama, Plan B lebih dikenali di kawasan ini.
“Sekiranya untuk meningkatkan lagi pengunjung, kita perlu menambahkan lagi produk-produk dihasilkan,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui seronok berada di lorong tersebut kerana suasana, budaya dan karya seni yang dijual tidak sama dengan tempat lain.
“Barang-barang di sini, macam ada yang tepi ini, batu lukisan, yang dibuat secara kreatif, memang seronok, saya pun memang minat benda-benda kreatif sebegitu,” kata kakitangan swasta, Jefry Am Rizal.
Seorang lagi pengunjung dari Selangor, Muhammad Ehsan Ismed berkata, keunikan yang ada di lorong tersebut tiada di Selangor.
“Kita tengok di sini memang cantik. Bila viral, kita terus datang sini. Kawasan ini memang cantik, unik. Kalau di Selangor, kita tiada kawasan-kawasan seperti ini.
“Budaya di sini pun memang cantik, tengok setiap jalan semua ada seni yang tersendiri. Sini syurgalah buat pencinta seni,” ujarnya.
Lorong Seni @ Lorong Panglima beroperasi pada setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan bagi pencinta seni, mungkin ini lokasi tepat untuk anda.
Namun, pastinya, promosi berterusan perlu dilakukan dan kerajaan baharu yang bakal terbentuk nanti perlu memberi penekanan untuk terus memajukan lorong tersebut.
Sumber I Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment