NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 700 kereta import tersadai di Pelabuhan Klang

Saudara Pengarang, 

ISU banyak kontena tersadai di Pelabuhan Klang, Selangor pernah berlaku pada 2020 yang berpunca daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengehadkan penghantaran barang-barang tidak penting.

Bagaimanapun, masalah itu tidak berpanjangan berikutan PKP ditamatkan. Jika dibiarkan berterusan, ia ibarat bom jangka kerana setiap kontena yang tidak boleh dihantar akan dikenakan caj penyimpanan sekali gus meningkatkan kos input dan seterusnya dikenakan juga kepada pengguna.

Malangnya, meskipun PKP telah lama ditamatkan, masih terdapat lagi kes barangan tersadai di Pelabuhan Klang. Terbaharu melibatkan sebanyak 700 buah kereta import dari Korea Selatan yang tersadai lebih dua bulan.

Saya mewakili pembeli kereta KIA Carnival 2022 model yang diimport sepenuhnya (CBU) ingin mendapatkan perhatian sewajarnya tentang masalah kereta kami yang sudah sampai di Pelabuhan Klang sejak 10 Ogos lalu.

Kami cuba meminta penjelasan daripada syarikat pengimport tetapi jawapan mereka tetap sama setiap hari, yakni tiada maklumat terkini daripada pihak atasan. Kami sebagai pembeli dibiarkan menanti terpinga-pinga tanpa sebarang penjelasan yang baik serta tiada tarikh tetap untuk penerimaan kereta.

Semua pembeli rata-ratanya telah menjual kereta lama masing-masing untuk mendahulukan wang deposit pembelian tapi kereta baharu yang ditempah masih dalam genggaman penjual.

Diharapkan semua pihak terlibat dapat membantu kami para pembeli dengan sewajarnya selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

Jika kerajaan boleh membantu mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan yang tersadai di Myanmar, Kemboja dan Laos, lakukan perkara sama bagi menyelamatkan kereta tersadai di Pelabuhan Klang. – UTUSAN

SYAZWAN, Pembeli yang kecewa

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo