Kenyataan penyandang kerusi Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang juga Presiden Pengasas Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk terus bertanding di kawasan tersebut menghangatkan lagi saingan bagi merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menerusi kenyataan dalam Bahasa Iban di laman Facebooknya semalam, Sng berkata beliau mahu terus berkhidmat kepada rakyat di Julau.
"Aku tetap bediri kali tu. Ngetan ke penduduk aku, nyambong pengawa nulong rakyat orang di Julau. (Saya tetap akan bertanding kali ini. Mempertahankan kerusi saya, menyambung khidmat menolong rakyat di Julau).
"Aku diatu udah nyadi penduduk serta pengundi orang Julau (Saya sekarang sudah menjadi penduduk dan pengundi di Julau),” katanya yang berasal dari Kapit iaitu kawasan Parlimen bersebelahan Julau di tengah Sarawak.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika PBM masih menunggu kelulusan menyertai Barisan Nasional meskipun Zuraida Kamaruddin, yang merupakan presiden parti berkenaan sejak 8 Okt lepas, sebelum ini mengesahkan PBM tidak akan bertanding di Sarawak sekali gus menimbulkan tanda tanya berkaitan kedudukan Sng di Julau.
Sng memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila menewaskan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.
Beliau kemudian menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pada 2020 sebelum meletak jawatan pada 28 Feb 2021 serta menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Desas-desus turut menyatakan Salang, yang merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), akan bertanding di Parlimen Julau pada PRU15.
- Bernama
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment