KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, di akhir kes pendakwaan.
Berikut adalah kronologi kes berkenaan:
22 Julai 2021 - Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
5 Ogos 2021 - Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan mahkamah membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
23 Ogos 2021 - Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
25 Nov 2021 - Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu.
19 Jan 2022 - Hakim Mohamed Zaini menasihatkan Syed Saddiq agar lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya.
24 Mac 2022 - Pendakwaan kemuka dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada yang dihadapi Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.
21 Jun 2022 - Perbicaran hari pertama kes Syed Saddiq yang menghadapi empat pertuduhan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.
4 Julai 2022 - Azhar mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.
7 Julai 2022 - Pihak pembelaan memohon untuk mencabar kredibiliti saksi utama iaitu Rafiq Hakim Razali berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah namun permohonan itu ditolak.
8 Julai 2022 - Syed Saddiq memohon maaf di mahkamah kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kesnya itu.
21 Julai 2022 - Azhar mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.
22 Julai 2022 - Syed Saddiq sekali lagi memohon mencabar kredibiliti saksi sama (Rafiq Hakim) susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh SPRM dan keterangan lisannya di mahkamah dan permohonan itu juga tidak dibenarkan.
27 Sept 2022 - Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.
6 Okt 2022 - Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung empat pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment