KOLUM EPL APA KATA...
Kontroversi yang dicetuskan bintang sensasi, Cristiano Ronaldo pada pertengahan minggu ini jelas lebih mendapat perhatian berbanding pertemuan pasukannya, Manchester United dengan Chelsea tengah malam ini.
Pelbagai komen dapat dibaca menerusi media sosial mengenai tindakannya itu. Ada yang menyokong dan sebaliknya, selain turut bersimpati dengan nasib pemain terbaik dunia berusia 36 tahun itu.
Bintang Portugal itu mencuri perhatian apabila melakukan kejutan dengan memasuki terowong ke bilik persalinan sebelum perlawanan tamat ketika United menentang Tottenham di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di pertengahan minggu ini.
Tidak dapat dipastikan punca dia berbuat demikian, biarpun ramai mengaitkan Ronaldo tidak berpuas hati diletak dibangku simpanan sehingga perlawanan berakhir. United menang aksi itu 2-0.
Perbuatan Ronaldo itu bagaimanapun jelas tidak disenangi kelabnya dan jurulatih Erik ten Hag. Ini dapat dilihat dengan tindakan mereka semalam, yang membuat pengumuman awal tidak menyenaraikan pemain itu bagi aksi menentang Blues di Stamford Bridge.
Bagaimana pengakhiran kisah Ronaldo ini? Biarpun ada yang menyatakan ia mungkin aksi terakhir kita dapat melihat kelibat Ronaldo memakai jersi United musim ini, kita tunggu dan lihat.
Apapun, buat United kejayaan menundukkan Tottenham adalah sesuatu yang diharapkan mereka menjelang kunjungan ke London tengah malam ini selepas tercicir dua mata ketika diikat 0-0 Newcastle minggu lalu.
Sebelum ke Stamford Bridge, United menduduki tempat kelima liga dengan himpunan 19 mata selepas 10 aksi manakala Chelsea setakuk di atas dengan 20 mata menerusi 10 aksi juga.
Dengan perbezaan mata yang kecil bagi kedudukan pasukan lima teratas termasuk United dan Chelsea, mereka tidak boleh tercicir mata lagi, jika masih mengimpikan gelaran liga musim ini.
Justeru, baik Ten Hag atau pengendali Chelsea, Graham Potter sudah pasti ada strategi untuk memenangi aksi ini dan sekali gus terus menyalakan harapan menuju ke puncak.
Sebelum menerima kunjungan United, Chelsea kehilangan dua mata apabila diikat Brentford 0-0 pada pertengahan minggu, selepas menewaskan Aston Villa minggu lalu.
Dalam pada itu, pendahulu liga, Arsenal akan berkunjung ke Southampton dengan motivasi lebih tinggi selepas mengutip mata penuh berdepan PSV Eindhoven dalam aksi Liga Europa kelmarin.
Pasukan berdepan krisis, Villa pula akan berdepan menyambut Brentford dengan harapan baru untuk bangkit selepas pengendali mereka, Steven Gerrard dipecat kelmarin, susulan tewas 0-3 kepada Fulham, iaitu kekalahan kesembilan musim ini selepas 11 aksi. - Selamat menonton.
Ramalan minggu ini:
Nottm Forest 1-3 Liverpool
Everton 1-2 C Palace
Man City 2-0 Brighton
Chelsea 2-1 Man United
Wolves 2-1 Leicester
Aston Villa 1-2 Brentford
Southampton 1-2 Arsenal
Leeds 1-1 Fulham
Tottenham 3-2 Newcstle
West Ham 1-1 Bournemouth
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment