NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Komunis tidak diperlukan di Malaysia (Bahagian 2)

Apabila PKM keluar dari persembunyian mereka, PKM telah mengambilalih beberapa kawasan sepertinya mereka telah sah menjadi pemerintah. Dalam masa dua minggu mereka bermaharajalela, ramai yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh kerana mereka dianggap talibarut Jepun sewaktu perang dahulu.

PKM menggunakan perbicaraan mahkamah mengikut peraturan mereka. Tiada pembelaan atas pertuduhan yang mereka kemukakan, jadi semua yang ditangkap, adalah dikira pesalah secara langsung dan dibunuh. Begitulah hal keadaan mereka memerintah. Bukan sahaja tiada agama, malah tiada juga peraturan seperti itu dilaksanakan di dunia ini.

Inggeris, bukanlah satu kumpulan yang kita Melayu Islam sukai. Mereka baharu sahaja menakluki Palestin tanah suci orang Islam dan menyerahkannya secara jahat kepada Yahudi sebagai 'tanah yang dijanjikan'. Pembunuhan Sir Henry Gurney oleh komunis, bagi kita, hanyalah sebagai satu lipatan sejarah yang langsung tidak kita sedihkan. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin dan waktu itu, terjadi pembantaian rakyat Palestin di tangan Yahudi.

Ulamak Melayu Islam ketika itu, bukanlah buta politik dunia. Kejatuhan empayar Uthmaniah dirapati ulamak kita di nusantara ini. Tetapi apakan daya, untuk Melayu Islam, Inggeris lebih baik sedikit dari komunis ketika itu. Umat tersepit, pimpinan, mesti membuat keputusan. Dan demi kerana Islam, apa sahaja yang boleh memberikan kebaikan yang lebih kepada Islam, ulamak akan menerimanya. Ini adalah keputusan politik Islam asas semenjak dahulu termasuk para nabi yang PAS yang turuti.

Ching Peng yang mengetuai PKM, turut menubuhkan Rejimen 10 yang disediakan bagi anggota PKM berbangsa Melayu Islam. Mereka digunakan dengan helah bagi menentang British. Antara yang berjuang bersama PKM ialah Abdullah CD, Rashid Maidin, Wahi Anuar, Shamsiah Fakeh dan ramai lagi. PKM menyembunyikan penolakan mereka terhadap agama Islam, jika tidak, mereka tidak mendapat sokongan Melayu Islam. Maka orang Melayu ini terpedaya dengan tipu helah PKM.

Ada juga beberapa pimpinan Melayu Islam yang terikut-ikut dengan ideologi komunis ini, kerana tidak mahukan Inggeris. Tetapi akhirnya mereka kembali ke landasan yang benar. Mereka menolak fahaman yang menyesatkan itu. Kononnya komunis mahu membahagikan kekayaan sesama rakyat, akhirnya pimpinannya membaham harta rakyat dari pintu belakang. Mereka boleh bersenang lenang, siapa yang membantah, akan menerima nasib malang.

PKM direkodkan membunuh seramai lebih 4600 orang awam di Tanah Melayu serta kira-kira 4400 orang dari pasukan keselamatan sepanjang tempoh darurat selama 12 tahun di Tanah Melayu. Angka ini sekaligus menyatakan bahawa komunis adalah gerakan yang dahagakan darah dengan jumlah ratusan jutaan lagi menjadi korban di Russia dan China seperti yang saya nyatakan dalam siri 1. Mereka tidak percayakan Allah. 

Bersambung....

Mohd Nasir Abdullah
25 Oktober 2022

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo