NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KJ tiada dalam senarai BN N Sembilan, Rais Yatim tanding semula?


KUALA LUMPUR:
Nama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga penyandang Parlimen Rembau setakat ini dikatakan tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di mana-mana satu daripada lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, bekas penyandang Parlimen Jelebu, Tan Sri Dr Rais Yatim pula dijangka membuat penampilan semula di kerusi berkenaan, namun kali ini atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Maklumat itu diperoleh berdasarkan senarai nama-nama calon BN dan PN Negeri Sembilan yang mula ditularkan menerusi WhatsApp hari ini.

Nama Khairy seperti dilaporkan media sebelum ini dikatakan bakal dipertaruhkan BN di Parlimen Sungai Buloh, kawasan yang sebelum ini disandang Pakatan Harapan (PH).

Dalam senarai yang tular itu khususnya membabitkan calon BN, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Rembau menggantikan tempat yang akan dikosongkan Khairy.

Turut berada dalam senarai itu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam yang dinamakan untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, sementara Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon di kerusi Parlimen Seremban.

Berdasarkan senarai calon PN pula, Rais yang juga Speaker Dewan Negara, dijangka berdepan saingan penyandang kerusi Parlimen itu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang mewakili BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Selain beliau, turut dinamakan sebagai calon PN di negeri itu, Muhd Noraffendy Salleh di Parlimen Jempol, yang dijangka berdepan penyandang kerusi itu yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Turut dinamakan, Ahli Majlis Pimpinan BERSATU yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee di kerusi Parlimen Kuala Pilah, sementara Khairul Yazman Yahaya (Seremban); Naib Presiden GERAKAN, Datuk David Chong (Rasah); Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus di Rembau.

Dua calon PAS yang akan mewakili PN bertanding di negeri itu termasuk Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha (Port Dickson) serta bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar (B) Abdul Halim Abu Bakar yang dijangka ditampilkan semula di Parlimen Tampin.

Sementara itu di Parlimen Kuala Pilah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Adnan Hasan turut dinamakan sebagai calon, sementara kerusi Parlimen Tampin, nama-nama yang disebut termasuk bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor serta Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Esam Mohd Isa.

Dalam pada itu, portal berita memetik Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim menyatakan pengumuman rasmi semua calon BN di negeri itu akan dibuat oleh pimpinan utama parti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo