NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kini pergolakan dan BN, Umno, MCA sama-sama mahukan kerusi Ampang


Ketika hari penamaan calon semakin hampir, keputusan mengenai calon yang akan mewakili BN di kerusi parlimen Ampang terus menjadi perhatian apabila ia direbutkan Umno dan MCA.

Di kawasan majoriti pengundi Melayu itu, Umno Ampang melihat ada petanda yang kuat menunjukkan pemimpin utama BN mahu meletakkan calon MCA di situ.

Malaysiakini difahamkan Umno Ampang menghantar wakilnya untuk menemui presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, malam semalam untuk membincangkan isu berkenaan.

Mereka juga bercadang untuk bertemu dengan Ahmad Zahid sekali lagi hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pemangku ketua Umno Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim, mengesahkan mereka meminta pemimpin parti membuat pertimbangan untuk menurunkan calon Umno di situ.

"Kami mahukan calon Umno di Ampang ni kalau boleh. Pertama kerana faktor demografi sedia ada, dan kedua kerana kami sudah buat kerja di sini sejak 2018.

"Faktor ketiga, MCA tidak mewakili penduduk Cina di Ampang," katanya.

Mohamad Nadzim juga mendakwa MCA tidak pernah membuat kerja-kerja sepatutnya untuk BN Ampang dan parti yang banyak membantu komuniti Cina di situ adalah Umno sendiri.

Mereka juga, katanya, sudah selesa dengan Umno.

Enam, tujuh penjuru beri kelebihan

Ampang adalah kawasan parlimen yang diwujudkan pada 2004. Asalnya kawasan terlibat dikenali sebagai Ampang Jaya yang ada sejak 1986 dan MCA bertanding - dan menang - di situ dalam empat PRU.

Pada 2004 kerusi Ampang ditandingi calon Umno, Dr Rozaidah Talib, yang mengalahkan calon PKR, Dr Xavier Jeyakumar Arulanandam, dengan majoriti 19,732 undi.

Bagaimanapun pada PRU ke-12 (2008), calon PKR, Zuraida Kamaruddin, merampas kerusi berkenaan dan mengalahkan calon BN, Azman Wahid, dengan perbezaan 3,676 undi.

Dua PRU berikutnya kerusi Ampang kekal dimenangi Zuraida dengan peningkatan majoriti yang ketara.

Pada 2020, Zuraida meninggalkan PKR bersama 10 ahli parlimen lain sebelum menyertai Bersatu. Bagaimanapun dia tidak kekal bersama parti berkenaan sebelum keluar pula untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan.

Ketika ini PBM berdepan dengan konflik dalaman apabila Zuraida dan penyokongnya berdepan dengan perebutan jawatan menghadapi pengasas PBM, Larry Sng.

Zuraida dijangka berdepan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Mengikut data 2018, Ampang mempunyai 91,737 pengundi dengan 56 peratus adalah Melayu, diikuti 35 peratus Cina, 9 peratus India dan 1 peratus bangsa lain.

Ditanya mengenai peluang BN di Ampang kali ini, Mohamad Nadzim berkata, Umno percaya ruang untuk merampas kerusi tersebut dari PKR adalah lebih cerah berdasarkan kemungkinan berlaku pertembungan enam atau tujuh penjuru nanti.

Katanya, Umno juga yakin penyokong parti itu masih kekal dengan mereka dan tidak akan mengalih sokongan kepada parti lain.

"Kalau baki pengundi (selain penyokong Umno) berpecah kepada enam atau tujuh kumpulan, Umno ada kelebihan sikit dengan andaian semua ahli keluarga BN keluar mengundi," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo