NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesan jika DUN tidak dibubarkan serentak dengan Parlimen


Tindakan beberapa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang dilihat bakal memakan diri sendiri serta merisikokan kehilangan kuasa di peringkat negeri, kata penganalisis.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UTM) Ismail Sualman berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sekali dengan PRU15 membenarkan strategi, taktik, manifesto dan propaganda dibuat secara serentak untuk mempengaruhi pengundi.

Katanya, pengundi cenderung memilih mana-mana parti yang dikehendaki di kedua-dua peringkat tanpa sebarang “reservation”.

"Pengundi lebih mudah memilih mengikut pola pengundian seandainya ia buat serentak. Mana-mana parti pun akan mempunyai peluang dan ruang yang sama di gelanggang yang sama,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Risiko jika ditangguhkan ialah seandainya parti berkenaan kalah PRU15, corak yang sama dapat dilihat pada PRN.”

Beliau mengulas tindakan negeri-negeri PH dan PN yang enggan membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen pada Isnin. 

Kerajaan Perak di bawah Barisan Nasional (BN) bagaimanapun masih belum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. 

Ini bermakna, setakat ini hanya beberapa negeri sahaja akan melangsungkan PRN iaitu Pahang, Perlis dan Perak, sekiranya berjaya mendapat perkenan Sultan.

Negeri-negeri di bawah pentadbiran PH ialah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. 

Selangor dan Negeri Sembilan yang diteraju PKR sudah sepakat untuk tidak membubarkan DUN.

Bagaimanapun, Pulau Pinang  yang diterajui DAP masih berteka-teki mengenai keputusan itu.

PAS yang menerajui Kelantan, Kedah dan Terengganu pula sudah sepakat untuk tidak membubarkan DUN.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak akan terbabit dengan PRU15 ekoran sudah mengadakan PRN masing-masing sebelum ini. 

Tindakan tidak mahu membubarkan DUN di negeri-negeri merupakan bantahan terhadap pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menerima tekanan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka membantah kerana merasakan pada ketika ini, tumpuan harus diberikan kepada persiapan menghadapi banjir.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata,  PH dan PN sewajarnya mengadakan pilihan raya serentak seluruh negara bagi menjimatkan wang dan masa rakyat selepas parti-parti tersebut mengkritik pembaziran wang dan masa rakyat ketika BN membubarkan DUN Melaka dan Johor. 

DUN di negeri-negeri PH dan PN juga katanya sudah mencapai tempoh matang. 

"Saya tidak menolak sekiranya diadakan pilihan raya secara berasingan pengundi akan merasa menyampah (annoying) untuk turun dua kali mengundi. 

“Tambahan pula ketika itu mereka sudah mempunyai sikap dan pilihan yang dibuat peringkat Parlimen.

“Kerana jika buat berasingan, Umno ada kelebihan dan fokus jentera mereka mengikut negeri. Mungkin lebih malang kepada PH kalau Umno-BN  menang kerajaan pusat," katanya.

Ahmad Atory Hussain yang mengkaji politik Melayu selama beberapa dekad turut merumuskan pandangan sama. 

"Kalau BN menang jadi pemerintah kerajaan pusat, PH dan PAS cari penyakit jika tidak bubar DUN negeri mereka. 

“Ini kerana  BN akan menggunakan seluruh kekuatan dan aset diorang untuk menjatuhkan kerajaan negeri di bawah PAS dan PH,” tambahnya. 

Senada dengan pandangan itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata negeri-negeri di bawah pembangkang akan dipengaruhi sekiranya BN menang kerajaan pusat.

"Urusan pentadbiran persekutuan-negeri akan memberi rangsangan untuk negeri juga menang bersama Umno dan BN terutama sekali Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

"Keadaan ini juga vis-a-vis dengan mana-mana parti permuafakatan yang berjaya menubuhkan kerajaan pusat," katanya.

Antara bangkangan terhadap pilihan raya berasingan termasuklah kos, logistik dan sumber manusia. 

Ismail berkata, sukar untuk penduduk di Lembah Klang atau penduduk luar negara pulang ke negeri masing-masing pada tahun depan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. 

Ia merisikokan peratusan undi rendah yang boleh memberi kelebihan kepada BN.

Sementara itu, Hisommudin berkata PH dan PN perlu yakin dengan kekuatan sokongan kepada pentadbiran mereka. 

"Jika kuat dan rakyat terbela dengan dasar lebih empat tahun pentadbiran, kenapa takut untuk bubar dan berdepan dengan lawan politik mereka?"







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo