Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dalam usaha membina negara berdaya tahan, tangkas (agility) dan berimpak. |
KUALA LUMPUR: Kita semua perlu bersedia dengan keadaan ekonomi global pada tahun hadapan yang dijangka lebih mencabar akibat daripada faktor luar jangka yang terus menghambat, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu mengakui cabaran tersebut akan memberi impak langsung kepada Malaysia yang juga sebuah negara yang kecil dan mengamalkan polisi ekonomi terbuka.
Zafrul bagaimanapun berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dalam usaha membina negara berdaya tahan, tangkas (agility) dan impak dengan membuat pelaburan dalam infrastruktur digital dan ketersambungan.
“Rangkaian 5G akan menjana sebanyak RM650 bilion dalam pertumbuhan kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Kerajaan juga kekal komited dalam menyelesaikan isu pengangguran dengan memperuntukkan RM4.8 bilion menerusi inisiatif JaminKerja ketika belanjawan baru-baru ini, meskipun jumlah pengangguran ketika ini menunjukkan kadar penurunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia 2022 di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kelembapan ekonomi global tersebut disumbangkan oleh beberapa faktor seperti geopolitik antara Rusia-Ukraine, pengetatan situasi kewangan kerajaan dan polisi sifar COVID-19 di China.
“Selain itu ia juga disebabkan peningkatan harga barangan berikutan tekanan inflasi yang mengakibatkan negara-negara maju terus menaikkan kadar faedah selain isu perubahan iklim.
“Kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu membuat persiapan mendepani isu-isu ini, justeru kerajaan kini membuat segala persediaan bagi menghadapi sebarang cabaran pada tahun hadapan bersandarkan situasi ekonomi global,” ujarnya.
“Bank Dunia turut menyemak semula unjuran KDNK negara kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus tahun sebelumnya, malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menaikkan sasaran KDNK Malaysia daripada 5.1 peratus kepada 5.4 peratus.
“Kerajaan ketika pembentangan belanjawan lalu turut menyemak semula sasaran pertumbuhan pada tahun ini sebanyak 6.5 hingga tujuh peratus. Ekonomi kita juga pada ketika ini jauh lebih kukuh dan merupakan rekod tertinggi dalam tempoh krisis pandemik,” jelasnya.
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment