Musuh kita dari PRU13 hingga kini PRU15 kekal sama iaitu kumpulan pencuri dalam kalangan pemimpin Melayu BN yang ditunjangi oleh Umno.
Walaupun terdapat cubaan dalam kalangan pemimpin parti lain untuk bekerjasama dengan kumpulan pencuri ini, tetapi usaha itu gagal malah yang mahu bekerjasama ini ditipu semula.
Contoh jelas Muhyiddin Yassin disailang kembali hanya setelah 16 bulan menjadi perdana menteri. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, ditipu oleh kumpulan pencuri ini dengan sokongan SD palsu.
Pencuri dalam kalangan pemimpin ini tidaklah sekuat mana kerana pada PRU14 lalu, terbukti boleh ditumbangkan.
Namun, kita dari blok pembangkang tidak dapat bertahan lama kerana kelemahan kita sendiri.
Masalah dan kelemahan blok-blok pembangkang yang terpecah tiga ini (PH,PN dan GTA) bukan masalah sains roket, tetapi masalah yang agak asas dan semua mengetahui masalah itu iaitu tiada kepercayaan antara satu dengan yang lain.
Bercakap tentang kejahatan pemimpin BN ini tidak boleh menjamin blok pembangkang akan menang dalam pilihanraya.
Mungkin ia hanya "hiburan" untuk pemimpin jadi popular, tetapi parti tetap kalah.
Begitu juga bila kita bercakap tentang kelemahan dan perbezaan antara parti dalam blok pembangkang, juga tidak akan membawa kemenangan kepada kita. Kerana pengundi sudah menyampah mendengarnya.
Yang akan bawa kemenangan kita semua ialah apabila timbul ombak keinginan rakyat untuk keluar mengundi beramai-ramai.
Peratusan keluar mengundi mesti maksimum melebihi 80%. Peratusan keluar mengundi yang tinggi ini akan menjadi "virus corona" buat BN. Jika virus ini berjaya diviralkan, maka BN yang ditunjangi Umno akan tersungkur sekali lagi dan kali ini mungkin mereka akan habis punah.
Jadi bagaimana langkah terbaik blok pembangkang untuk menimbulkan ombak keinginan rakyat untuk keluar mengundi? Bergabung bawah satu bendera? Atau menyediakan manifesto yang terbaik? Apa?
Bagi saya, hampir mustahil ketika ini blok pembangkang dapat bergabung kerana masalah defisit kepercayaan antara satu sama lain masih membengkak seperti yang saya nyatakan.
Jalan yang ada hanyalah dengan berkempen meyakinkan rakyat bagaimana kerajaan baru dapat dibentuk selepas pilihanraya dan bagaimana kerajaan baru itu dapat menyelesaikan masalah rakyat dan negara.
Dengan langkah ini, rakyat akan nampak cahaya dihujung terowong. Dan cahaya itu boleh menimbulkan keinginan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab dan keluar beramai-ramai membuang undi, undilah siapa pun asal bukan BN.
Jika BN tidak cukup kerusi selepas PRU15 ini, blok-blok pembangkang yang menang boleh menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil yang berkonsepkan "unity government" atau kerajaan perpaduan.
Kemungkinan wujudnya kerajaan perpaduan selepas pilihanraya hampir pasti berlaku, suka atau tidak kerana landskap politik tanahair telah berubah selepas PRU14. Apabila tumbangnya BN pada PRU 14 ia menunjukkan tiada lagi mana-mana blok politik yang memiliki sokongan mutlak seperti sebelum ini.
Kekuatan PH takkan cukup, PN takkan cukup apatah lagi GTA. Model parti yang dominan ala Umno dalam BN tidak boleh wujud lagi dalam mana-mana gabungan yang lain ketika dan selepas ini. Keadaan ini memaksa semua blok pembangkang untuk bersikap terbuka dan bekerjasama.
Justeru, kerajaan perpaduan amat sukar untuk dielakkan malah kita harus bersedia ke arah itu demi menzahirkan hasrat rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.
Jerman sejak 2005 hingga 2021 terus stabil dengan kerajaan perpaduan. Di United Kingdom, juga pernah wujud kerajaan perpaduan semasa zaman perang dan ia berjaya.
Begitu juga dengan negara Jepun pada 1993 malah di Turkiye juga pernah wujud kerajaan perpaduan selepas pilihanraya 1961. Banyak lagi negara mempraktikkan konsep ini.
Realiti sekarang, jika kita sukar hendak membentuk gabungan sebelum pilihan raya, hakikatnya hampir pasti semua blok pembangkang perlu bekerjasama selepas pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang bersih dan stabil.
Berbincang untuk berkongsi kuasa setelah menang, lebih efektif daripada berbincang dalam keadaan semua tiada kuasa.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment