NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan campuran berteras Melayu bakal kembali selepas PRU



Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan meraih kemenangan dua pertiga meskipun Umno dianggap parti politik paling berpotensi memiliki kerusi Parlimen terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut beberapa penganalisis politik.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata, walaupun Umno membubarkan Parlimen berjaya direalisasikan, namun impian parti untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dianggap sebagai “terlalu besar”.

Justeru, mereka berkata, terdapat kemungkinan Malaysia akan menyaksikan satu lagi pembentukan kerajaan campuran seperti apa yang berlaku sejak Februari 2020 antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata sekiranya pembentukan pembentukan kerajaan campuran berlaku lagi, kemungkinan besar ia akan menjadi kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam.

Katanya, ia hal itu terdorong kepada jangkaan usaha sama berterusan antara BN-PN sekiranya gabungan diterajui Muhyiddin Yassin itu berjaya merekodkan kemenangan "secukupnya".

Bagaimanapun, katanya, tidak mustahil juga Umno atau BN membentuk pakatan baru dengan pihak selain PN seperti parti politik dari Pakatan Harapan (PH).

"Jika keadaan terdesak, saya rasa Umno akan sanggup bekerja sama dengan mana-mana parti yang memiliki kerusi Parlimen yang cukup signifikan untuk membentuk pakatan baru," katanya kepada MalaysiaNow.

Untuk rekod, BN yang ditubuhkan pada 1973 - bagi menggantikan Parti Perikatan - mula dinafikan kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU12 2008 selepas hanya berjaya meraih 140 kerusi Parlimen manakala gabungan parti pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat memperoleh 82 kerusi.

Pada 2013, PRU13 menyaksikan kerusi BN terus merosot kepada 133 sebelum akhirnya ditewaskan pada PRU14.

Bagi Ahmad Atory Hussain, penganalisis politik dari Univeriti Sains Malaysia (USM), tiada petanda Umno atau BN akan kembali ke era kegemilangannya selepas berlaku perpecahan dalam parti itu terutama selepas 2018.

Katanya, perpecahan dalam parti itu sebenarnya telah mendorong kelahiran parti baru seperti Bersatu, Warisan dan Pejuang dan situasi ini hanya mengurangkan lagi sokongan orang ramai terhadap Umno.

"Saya tak nampak BN akan menang dua pertiga," ujarnya. 

"Tak tahulah jika Umno sendiri mempunyai keajaiban.”

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan campuran, Atory berkata, idea itu sebenarnya sudah menjadi trend di negara-negara Eropah dan tidak mustahil ia akan menjadi trend di Malaysia selepas PRU15.

Jelasnya, jika rakyat mahukan kerajaan yang mempunyai satu parti dominan, ini bermakna salah satu gabungan parti politik sama ada BN, PH atau PN perlu meraih kemenangan dua pertiga.

Namun, katanya, tiada antara parti-parti itu dilihat berupaya mencapai sasaran tersebut.

"Mampukah ketiga-tiga gabungan ini peroleh majoriti dua pertiga dalam keharubiruan dan kekalutan politik masa sekarang?" soal beliau.

Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania, berpandangan bahawa kerajaan campuran akan memanfaatkan negara apabila ia merangkumi lebih banyak suara daripada lebih banyak parti berbeza.

Menurutnya, istilah kerajaan campuran sebenarnya sudah lama digunakan malah sejak era pentadbiran BN lagi.

Bagaimanapun, katanya pada ketika itu, Umno dilihat terlalu "kuat" berbanding parti komponen BN lain.

"Kita inginkan sebanyak mungkin suara dari parti berbeza," katanya. 

"Tetapi di Malaysia, isunya bukan disebabkan kerajaan campuran tetapi lebih kepada bagaimana kuasa itu diagihkan."






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo