NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa UMNO-BERSATU boleh bersama di Sabah tetapi tidak di Semenanjung?


Di sebalik namanya, ternyata Bersatu Sabah tidak menampilkan dirinya sebagai sebahagian daripada tunjang Perikatan Nasional (PN) seperti di Semenanjung Malaysia.

Bahkan Bersatu Sabah dilihat lebih bergantung kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS adalah sebuah gabungan parti politik yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Anggotanya termasuk Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ketika pemimpin Umno dan Bersatu di negeri lain saling bercakaran - walaupun kedua-duanya bersama dalam kerajaan - keadaan di Sabah adalah berbeza.

Hubungan Bersatu-Umno kekal mesra, malah dijangka bakal bekerjasama menghadapi PRU akan datang.

Beberapa penganalisis politik memberitahu Malaysiakini, Umno dan Bersatu di Sabah cenderung untuk mengadakan pakatan adalah didorong semata-mata kerana pragmatisme.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, tidak seperti Semenanjung Malaysia, Umno dan Bersatu Sabah perlu bersaing dengan bukan satu tetapi dua kuasa politik utama - Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

"Ada juga parti tempatan lain. Jadi, kita boleh menjangkakan pertembungan empat hingga lima penjuru, melainkan Umno dan Bersatu bekerjasama.

“Ia adalah aritmetik pilihan raya tulen,” katanya kepada Malaysiakini.

Secara keseluruhan terdapat 26 kerusi parlimen untuk direbut di Sabah dan Labuan. Pada PRU 2018, Warisan dan PH memenangi 14 daripada kerusi berkenaan manakala selebihnya dikuasai BN.

Kebanyakan ahli parlimen BN kemudian berpaling tadah dan bersama GRS sejurus sebelum pembubaran parlimen.

Di peringkat tempatan, Warisan menguasai majoriti kerusi dewan undangan negeri dan berjaya memerintah Sabah selama 27 bulan sebelum kerajaan negeri bertukar melalui pilihan raya negeri.

Susulan itu, pemimpin Bersatu Sabah dan Ketua Menteri Hajiji Noor berjaya menjalinkan hubungan berjaya dengan pemimpin Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin.

Chin berpendapat bahawa satu sebab untuk hubungan yang agak mesra adalah kerana tidak banyak memisahkan Umno Sabah dan Bersatu Sabah.

“Tidak banyak beza Umno dan Bersatu di Sabah. Apa yang saya dengar, akhirnya mereka akan bersatu sebagai blok Sabah.

“Impian mereka adalah untuk mempunyai blok Sabah yang serupa dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sangat kuat dan bersifat setempat bagi memiliki kuasa tawar-menawar dengan Kuala Lumpur.

"Mereka telah melihat apa yang GPS dapat dari KL, jadi mereka tahu itulah cara untuk dapat apa yang dimahukan," katanya.

Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak percaya Umno Sabah dan Bersatu Sabah boleh mengetepikan perbezaan mereka kerana kedua-dua parti terbabit mempunyai musuh bersama dalam Warisan.

“Terdapat persefahaman mendalam antara parti mengenai keperluan untuk terus bersama demi kestabilan negeri,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo