DAR ES SALAM: Pihak berkuasa Tanzania memaklumkan kebakaran di Gunung Kilimanjaro kebanyakannya terkawal meskipun api membakar gunung tertinggi di Afrika selama lebih 24 jam.
Kebakaran bermula petang kelmarin berhampiran tapak Karanga yang digunakan pendaki untuk menaiki puncak terkenal itu, iaitu pada ketinggian kira-kira 4,000 meter.
"Kami sudah berjaya mengawal kebakaran. Sebahagian besarnya sudah dipadamkan di kebanyakan kawasan walaupun masih terdapat asap," kata Eliamani Sedoyeka, seorang pegawai di Kementerian Sumber Asli dan Pelancongan.
Sedoyeka berkata, ketika ini sasaran adalah untuk memastikan api dapat dikawal sepenuhnya menjelang petang ini.
Kebakaran di kawasan tumpuan pelancong dan tapak Warisan Dunia UNESCO di timur laut Tanzania, yang menerima puluhan ribu pendaki setiap tahun untuk menakluki puncaknya yang dilitupi salji, bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.
Ratusan orang termasuk anggota bomba, kakitangan taman negara dan orang awam dikerah untuk memadamkan kebakaran yang diburukkan lagi dengan kehadiran angin yang kencang.
Rakaman media sosial semalam menunjukkan api besar meranapkan tumbuh-tumbuhan dan semak-samun serta mengeluarkan asap kelabu.
Puncanya masih belum diketahui, namun Sedoyeka semalam berkata, seorang pendaki atau pemburu madu mungkin memulakan kebakaran 'secara sembarangan'.
Seorang pegawai di pihak berkuasa taman negara Tanzania, Herman Batiho, berkata dia 'pasti' punca kejadian disebabkan aktiviti manusia iaitu sama ada melalui pemburuan haram atau penduduk tempatan yang mengambil madu.
Kebakaran terbaharu itu berlaku selepas dua tahun apabila api marak selama seminggu pada Oktober 2020 merentasi kawasan seluas kira-kira 95 kilometer persegi. - AFP
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment