BLOK Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menawarkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Kata mereka satu daripadanya mewakili Semenanjung, dan dua lagi Sabah dan Sarawak.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan tiga jawatan TPM. Masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Itu pun sekiranya Umno/BN menang dominan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Presiden Umno itu mencadangkan ia dimasuk dalam manifesto BN PRU15. PH juga dilapor mahu mengekalkan cadangan tiga jawatan TPM. Kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim, cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Nampaknya idea BN dan PH hampir serupa. Usaha itu tidak lebih untuk memancing parti dari Sabah dan Sarawak. Mengapa idea yang dianggap membazir itu mahu diteruskan.
BN tidak lagi bertapak di Sarawak. Dan bukan lagi ‘fix deposit’ BN.
Semua parti yang pernah berkongsi kuasa dengan BN keluar beramai-ramai selepas pilihan raya umum (PRU) lepas.
Mereka keluar BN pada Jun 2018. Parti terbabit iaitu Parti Bersatu Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Pada PRU lepas parti terbabit menang 19 kerusi. Paling banyak menang PBB iaitu 13 kerusi, dikuti PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1).
Ekoran tindakan itu BN hilang 19 kerusi. Sedangkan pada 9 Mei 2018 BN menang 79 kerusi. Bagaimanapun sekarang BN hanya tinggal 40 kerusi.
Ramai wakil rakyat mengambil langkah mufarakah selepas BN gagal mempertahankan kerajaan. Apakah faktor BN tewas menyebabkan hampir hampir separuh ahli parlimen BN hijrah, mungkin juga kerana ada isu lain.
Mereka mungkin malu apabila Umno dan BN dipalit dengan isu rasuah. Isu 1MDB menggegarkan seluruh dunia. Isu itu bukan sekadar berligar dalam negara.
Tentunya ramai masih ingat konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar syarikat pelaburan 1MDB dibicara di Mahkamah Brooklyn, New York Amerika Syarikat.
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didapati bersalah. Mungkin itu antara faktor hampir separuh ahli parlimen BN hijrah. Mereka malu dengan isu 1MDB.
Mereka bernasib baik kerana ketika itu belum ada Akta Antilompat parti.
Apakah salah mereka membebaskan diri mereka daripada belenggu 1MDB.
Biarpun mereka digelar belot, namun tindakan itu boleh dikatakan lebih bermaruah apabila menjarak diri daripada belenggu yang menimpa Umno.
Cipta kejutan lagi
Biarpun PH dan BN nampak senada dalam isu 3 TPM, sebaliknya PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) terus mengorak langkah.
Kemungkinan tidak dapat ditolak bilangan kerusi menteri besar (MB) untuk PAS boleh bertambah. Sekarang MB dari PAS ada di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Berdasar situasi di bawah, nampak riak-riak yang lebih positif. Malah Bersatu Perlis sudah lama berterus terang. Ketuanya Abu Bakar Hamzah seperti tidak berselindung lagi.
Pada kenyataannya beliau menyokong pentadbiran Perlis dipimpin PAS. Ia bermakna calon menteri besar PN di Perlis dari PAS.
“Bersatu masih baharu di Perlis. PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti,” katanya seperti dilapor media.
Biarpun ada pihak menyifatkan sebagai angan-angan, namun realitinya tidak boleh ditolak begitu sahaja. Kejutan boleh berlaku.
Jangan pula kaget bukan setakat empat MB PAS, sebaliknya boleh bertambah kepada lima. MasyaAllah. Biarpun bayangan itu masih samar, namun sudah ada riak ke arah itu.
Hakikat terbabit turut diakui Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah.
“Kita
sudah ada calon MB yang dipersetujui komponen parti dalam kalangan
tokoh PN, kita akan umum pada masa yang sesuai,” kata Saifuddin.
Lagi pun pada PRU-14, PAS memiliki lapan Adun. Sekiranya lapan kerusi Dun itu mampu dipertahan dan ditambah di kerusi lain, kemungkinan itu bukan lagi sekadar angan-angan.
Dun Pahang mempunyai 42 kerusi. Sekurang-kurang PN perlu 14 kerusi lagi untuk mendapat ‘simple majority’. Ia boleh berlaku dengan gandingan mantap Bersatu dan Gerakan.
Sekurang-kurangnya ahli dan penyokong Umno yang malu dengan isu 1MDB
boleh senyap-senyap undi PN. Apa pun kita tengok 19 November ini.
Jaraknya semakin dekat.
M FAQIH
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment