Kegunaan alatan perubatan stetoskop termasuk memeriksa aliran usus dan aliran darah selain mendengar bunyi di dalam badan seperti nafas.
Sebut sahaja alat perubatan stetoskop pastinya ramai yang memikirkan kegunaannya hanya untuk mendengar ‘bunyi’ di dalam tubuh badan, khususnya degupan jantung dan pernafasan. Namun tidak semua tahu bahawa alat itu juga digunakan untuk memeriksa bunyi dari usus dan aliran darah.
Walaupun pada zaman ini, terdapat banyak akses terhadap teknologi namun bagi sesetengah kawasan penduduk di luar bandar, lazimnya di tempat pedalaman, mereka sedikit ketinggalan dalam mengakses perubatan moden. Oleh itu, ada pakar perubatan menggunakan stetoskop bagi memeriksa aliran darah di badan untuk mengetahui penyakit yang dihidapi.
Sekiranya seorang doktor dilihat sedang memeriksa pesakit menggunakan stetoskop di bahagian selain badan, itu menunjukkan beliau sedang memeriksa aliran darah. Namun perkara itu dipercayai jarang dilihat orang, malah ada segelintirnya menganggap perbuatan itu adalah satu jenaka.
Bagi yang ingin mengetahui apakah sebenarnya kegunaan lain stetoskop, mari ikuti perkongsian panjang oleh seorang pengamal perubatan, Dr. Mohd Syamirulah Rahim menerusi satu perkongsian di Facebook miliknya baru-baru ini. Semoga bermanfaat.
Kelakar kan tengok gambar ini? Seakan-akannya kelihatan seperti doktor tersebut b***h, menggunakan stetoskop yang “sepatutnya” digunakan di dada, tapi diletakkan di mata pula.
Gambar ini di-post oleh sebuah page jenaka. Di ruangan komen penuh gelak ketawa netizen yang pastinya merasakan perkara ini sebuah lelucon.
Percaya atau tidak, saya pernah berhadapan dengan situasi ini. Saya berjumpa seorang pesakit di klinik, pesakit itu baru keluar wad kerana disyaki mengalami serangan strok.
Saya pun menggunakan stetoskop, mendengar bunyi jantung dan paru-paru pesakit itu dengan teliti. Kemudian, stetoskop saya diletakkan ke tepi leher pesakit tersebut. Waris pesakit tersebut bertanya, “Doktor, check apa ye kat situ?”
Saya pun menerangkan kepada beliau dan pesakit, saya sedang cuba mendengar adanya bunyi “Carotid bruit”. Bunyi carotid bruit menandakan adanya sempitan pada salur darah carotid yang membawa darah dari jantung ke otak. Sempitan ini boleh menyebabkan terjadinya darah beku yang menjadi punca strok.
“Oooo..” panjang Ooo yang diberikan. Saya memuji waris pesakit berkenaan yang terus bertanya untuk belajar. Saya tanyakan kepada pesakit, adakah pernah dibuat ultrasound leher? Beliau menjawab ada appointment tapi masih belum sampai tarikh.
Biasanya pemeriksaan ultrasound doppler carotid adalah lebih tepat untuk mengukur adanya sempitan, berbanding pemeriksaan menggunakan stetoskop sebegini. Namun pemeriksaan carotid doppler memerlukan peralatan khas (mesin ultrasound) dan kemahiran khas atau doktor yang terlatih.
Jadi apa yang cuba dibuat oleh doktor di dalam gambar ini?
Di dalam gambar ini, doktor cuba mengesan adanya “bruits” pada salur darah mata. Tanda ini dinamakan Riesman Sign. Ia dapat digunakan untuk mengesan adanya penyakit seperti masalah salur darah, Grave’s Disease (penyakit thyroid) atau penyakit-penyakit lain seperti anemia.
Di zaman sekarang, kita sudah ada banyak akses terhadap teknologi. Hampir setiap klinik, sudah ada mesin ultrasound. Hampir setiap klinik, sudah ada mesin analisis darah. Hampir setiap bandar, terdapat hospital yang kita boleh rujuk pesakit untuk buat pelbagai test oleh pelbagai mesin.
Namun di sebahagian kawasan di dunia ini, khasnya luar bandar dan pedalaman, jauh dari akses teknologi seperti yang disebutkan. Pada ketika inilah, skill dan pengalaman seorang doktor akan diuji, untuk menggunakan kaedah-kaedah yang kelihatannya tidak konvensional namun amat penting khasnya melibatkan diagnosis berbahaya.
Cumanya itulah, manusia itu, musuh kepada apa yang dia tak tahu. Dia ingat stetoskop ini gunanya hanya di dada, kerana itu apabila dia melihat gambar ini, dia rasa ia lucu, dia sangka doktor itu b***h. Ubat kepada kejahilan adalah ilmu, dan cara mendapatkan ilmu adalah dengan banyak membaca dan banyak bertanya, inshaAllah.
Penulisan penuh boleh didapati di Facebook beliau di bawah.
Sumber: Facebook / Mohd Syamirulah Rahim
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment