Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan sidang media pada majlis Ramah Mesra dengan Warga 5 Divisyen Kem Lok Kawi Kota Kinabalu hari ini. - Foto BERNAMA |
KOTA KINABALU: Semua pihak terutama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan pengguna akhir, perlu berada di landasan sama dalam usaha menyelesaikan isu aset pertahanan usang yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semua pihak terbabit perlu tahu apa yang sepatutnya diberi keutamaan dalam soal pertahanan negara, di samping menjaga kebajikan anggota tentera.
"Kita tidak boleh cakap mengenai aset (pertahanan) hari ini tetapi dalam masa sama, nak cari berbilion ringgit untuk bina rumah anggota kita, kemudian hendak bina hospital untuk anggota tentera kita, sekolah untuk anak anggota kita juga perlu dibincangkan.
"Isu penyelenggaraan, ada aset banyak pun tiada duit untuk penyelenggaraan, isu juga. Jadi, apa pendekatan yang kita nak lakukan (selesaikan isu) mesti secara menyeluruh dan segalanya berkisar mengenai kestabilan negara. Kalau negara stabil senang kita buat perancangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatannya ke Kem Lok Kawi, di sini. Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Semalam, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, berkata aset TLDM sudah berusia serta kurang daya tempur.
Beliau berkata, tanpa peruntukan mencukupi, ia menjejaskan keupayaan untuk mengekalkan tahap kesiagaan keselamatan yang tinggi dan bertindak terhadap sebarang ancaman.
Hishammuddin berkata, bagi mengatasi isu aset usang TLDM, kerajaan juga pada masa ini sedang berusaha mendapatkan kumpulan kedua kapal misi pesisir (LMS) lengkap dengan persenjataan yang sesuai.
"Selain sokongan daripada kerajaan Perancis, pihak lain yang terbabit juga menunjukkan komitmen dalam usaha untuk kita selesaikan isu kapal LCS (kapal tempur pesisir).
"Jadi, perancangan kita untuk selesaikan isu LCS ini berjalan, tetapi hendak tunggu LCS siap, ambil masa. Jadi saya usahakan kumpulan kedua LMS," katanya.
LMS keempat dan terakhir kumpulan pertama iaitu KD Rencong selamat ditauliahkan pada 28 Januari lalu dan ditempatkan dalam Skuadron LMS ke-11 TLDM bersama tiga lagi iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik, berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
Sementara itu, katanya, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah kerana ia penting bagi memastikan segala perancangan serta inisiatif keselamatan di negeri ini khususnya di bawah naungan ATM dilaksanakan dengan optimum.
"Bagaimanapun, seperti saya tegaskan berulang kali, usaha memperkukuh pertahanan di Sabah ini berterusan dan akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Sebab itu, sejak menerajui semula Kementerian Pertahanan pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan," katanya.
Antara usaha itu ialah pembinaan kem baharu di FELDA Lahad Datu, pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kota Belud, mengatur gerak enam helikopter MD530G bagi mengukuhkan keselamatan Sabah, menubuhkan Stesen Udara Kota Kinabalu, penempatan empat LMS, dan pembinaan jeti Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan. - BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment