NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Idris Jusoh umum tidak pertahankan kerusi Parlimen Besut

KUALA TERENGGANU: Penyandang kerusi Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh, mengesahkan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu bertujuan memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

Beliau berkata, masa depan UMNO akan menjadi lebih bertenaga dan diminati ramai apabila parti dibarisi kepemimpinan yang lebih muda.

"Saya sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding sejak tahun 2013 bertujuan memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.

"Saya menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kepada Presiden UMNO dan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung, tetapi atas kehendak parti, saya akur untuk meneruskan khidmat dengan parti, sekali gus bertanding pada PRU14," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Idris, yang juga Pengerusi FELDA mengesahkan, turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Besut kepada pimpinan baharu sebagai satu perancangan untuk berundur secara beransur dalam arena politik.

"Saya bertanding di Parlimen Besut bermula tahun 1995 dan memenangi kerusi itu ketika berusia 40 tahun.

"Pada PRU 1999, saya sekali lagi dipilih parti untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jertih, tetapi gagal memenangi kerusi," katanya.

Idris sekali lagi diberi mandat untuk bertanding di DUN Jertih dan memenangi kerusi itu untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada PRU 2004 dan 2008, sebelum kembali bertanding di kerusi Parlimen Besut dan memenangi kerusi pada 2013 dan 2018.

"Usia saya sudah hampir mencecah 67 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong saya. Terima kasih kepada parti yang tanpa jemu memberi kepercayaan kepada saya sehingga hari ini," katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, walaupun tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut, beliau akan terus bekerja kuat dan membantu untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dengan cemerlang pada PRU15.

-- Berita Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo