NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GTA tanding 17 kerusi di Johor, termasuk Pagoh


BATU PAHAT:
Gerakan Tanah Air (GTA) mengenal pasti 17 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor untuk ditandinginya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya, Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, kawasan itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu, termasuk Parlimen Pagoh yang disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.

“Bagaimanapun, senarai calon akan dimuktamadkan esok, sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 Nov ini. Tentunya kita serius dalam menawarkan calon, bukan masuk dalam pilihan raya untuk berseronok.

“Kita tahu kita berhadapan dengan saingan sangat sengit yang datang dari parti sudah lama bertapak di negeri ini, contohnya Umno,” katanya presiden Pejuang itu selepas pelancaran jentera PRU15 GTA Johor, di sini.

GTA yang dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding kira-kira 120 kerusi Parlimen pada PRU15.

Mengulas keengganan beberapa gabungan untuk bekerjasama dengan GTA pada PRU15, Mukhriz berkata, ia mungkin disebabkan mereka sudah selesai mengagihkan kerusi dalam kalangan parti komponen mereka.

“Saya tidak pastilah apa sebabnya (enggan kerjasama). Agaknya mereka rasa di peringkat-peringkat akhir nak dekat pilihan raya, mungkin dah dipersetujui dalam kalangan mereka mengenai agihan kerusi.

“Jadi, bila kita bincang berkenaan kerjasama politik, bermakna ada kerusi yang terpaksa mereka korbankan untuk beri ruang kepada gabungan lain, mungkin itulah sebabnya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo