NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GTA letak calon di semua kerusi UMNO di Pahang


TEMERLOH -
Gerakan Tanah Air (GTA) akan meletakkan calon untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini rundingan sedang dijalankan untuk memilih calon termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini ratusan NGO telah menyertai GTA setakat ini.

"Semua kerusi Melayu iaitu kerusi UMNO dan Parlimen akan diletakkan calon, kalau ada yang hendak bertanding di kerusi bukan Melayu, calon bukan Melayu yang akan bertanding.

"Dari segi pembahagian kerusi ini juga termasuk NGO. Tetapi terpulang kepada mereka untuk kemukakan calon, namun sudah tentu kita yang akan pilih calon yang terbaik," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Dataran Tok Gajah di sini pada Sabtu.

Dr Mahathir ditemui selepas Program Himpunan GTA Negeri Pahang yang turut dihadiri Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahya, Ketua Setiausaha GTA, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Pengerusi Penyelaras GTA Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan.

Kira-kira 1,000 membanjiri dataran biarpun hujan renyai pada program terbabit.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, bagi NGO yang ingin kemukakan calon, mereka perlu bersidang antara mereka dan memilih siapa yang akan menjadi calon untuk mewakili mereka.

Katanya, GTA akan menentukan hanya ada satu calon sahaja yang akan bertanding bagi setiap kerusi.

Ditanya kerjasama dengan parti politik lain, beliau berkata, GTA sedia bekerjasama sekiranya parti terbabit bersetuju untuk berpegang kepada dasar-dasar perjuangan GTA, tetapi bukan sebagai gabungan.

"Kalau kita (GTA) bertanding di kawasan itu, mereka tidak akan bertanding. Begitu juga sebaliknya, kalau parti lain bertanding, kita tidak akan bertanding," jelas beliau.

Sementara itu, Dr Mahathir mengakui menghadapi masalah untuk meraih pengundi muda dalam pilihan raya kali ini.

"Semua pihak hadapi masalah dengan pengundi muda bukan sahaja GTA kerana setengah daripada mereka tidak berminat mendalami politik negara dan hanya mengundi mengikut ibu bapa mereka sahaja.

"Tetapi, selepas kita jumpa dengan orang muda dan kita menjelaskan perjuangan kita, mereka semuanya mengaku bahawa amat penting Pejuang (GTA) mendapat kemenangan," ujar Dr Mahathir.








............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo