NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GTA intai kerusi majoriti pengundi Melayu


JOHOR BAHRU:
Gerakan Tanah Air (GTA) akan memuktamadkan jumlah kerusi bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-15) dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata perkara itu sedang diperhalusi dan akan diputuskan dalam tempoh kurang dua minggu.

Katanya, GTA turut terbuka menjadikan ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam gabungan itu sebagai calon pilihan raya.

"Kita terbuka dalam menawarkan ahli NGO dalam GTA bertanding kerana ia akan menarik minat lebih ramai rakyat yang selama ini hanya disajikan dengan parti politik.

"Mungkin imej orang politik tidak begitu baik dalam tempoh dua tahun ini, namun NGO kekal dipercayai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat di pejabat Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor di sini, hari ini.

Mukhriz yang juga penyandang kerusi Parlimen Jerlun berkata, GTA memiliki keunikan atas sifatnya sebagai gerakan yang bersifat hibrid antara politik dan NGO.

Katanya, kehadiran NGO dalam GTA memberi kelebihan berbanding gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

"NGO dalam GTA bukan sekadar melepas batuk di tangga tetapi mereka memang aktif seperti PERKASA, Gagasan Bangsa dan rakan lain.

"NGO sememangnya aktivis yang memperjuangkan isu rakyat soal kepenggunaan, alam sekitar, pendidikan dan sebagainya.

"Bila mereka aktif dalam GTA dan menang pilihan raya, orang macam inilah yang kita tampilkan dalam jawatan yang boleh mengubah nasib rakyat. Itu kelebihan kita di GTA berbanding gabungan lain," katanya.

Mukhriz yang juga Presiden PEJUANG berkata, GTA berminat bertanding di 120 kerusi Parlimen di seluruh negara, dengan tumpuan di kawasan majoriti pengundi Melayu.

"Kita belum muktamadkan tapi kalau di Johor ada 26 kerusi dengan 17 daripada kerusi majoriti Melayu," katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo