NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerakan antiraja ancam kesejahteraan rakyat, negara


MUTAKHIR ini kita dapat lihat selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II, muncul satu gerakan antimonarki secara besar-besaran di negara yang mengakui baginda adalah Ketua Utama Negara mereka.

Golongan ini memaparkan slogan 'Not My King' dan 'Abolish the Monarch' dalam protes kononnya untuk membebaskan diri daripada sistem monarki yang dianggap sebagai sistem tidak membawa apa-apa keuntungan kepada mereka.

Sementara itu, ada kes Senator dari Australia ketika mengangkat sumpah jawatan, sempat menyebut 'Ratu sebagai penjajah', dilihat sebagai satu penghinaan.

Fenomena berlaku di England itu pada asasnya turut berlaku di negara memiliki sistem beraja termasuk Malaysia. Sistem monarki sudah lama bertapak di Malaysia, namun wujud kumpulan menentang sistem monarki ini.

Bezanya, negara kita tidak terlampau agresif seperti negara luar. Namun jika gerakan ini dibiarkan atau tidak dikawal, ia boleh menjerumuskan negara kepada peristiwa pemberontakan antimonarki seperti berlaku negara luar termasuk negara jiran.

Sejarah Malaysia tidak terlepas daripada menceritakan wujudnya sistem pemerintahan beraja. Zaman kegemilangan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dikatakan sejarawan sebagai lambang perpaduan, kemegahan, dan kemakmuran masyarakat majmuk terhasil daripada sistem monarki.

Di sini dapat dilihat monarki juga menjadi asbab utama keharmonian dan kestabilan sesebuah empayar. Matlamat utama gerakan antimonarki adalah untuk mendirikan sebuah negara republik dianggap sebagai sistem moden pentadbiran negara.

Adakah betul sistem ini sistem moden? Menurut catatan sejarah, sistem republik diguna pakai ketika zaman kerajaan Rom kuno kira-kira 500 tahun sebelum masihi.

Maka, sistem republik diertikan sebagai sistem moden sebenarnya sistem kuno ingin dihidupkan kembali. Mungkin mereka berpendapat pada zaman moden ini, negara mengamalkan sistem republik dilihat lebih maju berbanding negara masih mengamalkan sistem monarki.

Sedangkan, ada negara monarki berjaya mencapai taraf kemajuan awal berbanding negara republik seperti Jepun, United Kingdom (UK) dan sebahagian negara Eropah.

England pernah membubarkan dan mengembalikan sistem monarki. Menurut sejarah, Raja Charles I dihukum pancung pada 1649 dan sistem monarki dibubarkan.

Kemudian pada 1660, monarki dikembalikan kerana berlaku ketidakstabilan dalam sistem pentadbiran negara lebih lagi dalam penjagaan hal ehwal keagamaan.

Taati penguasa, wujud suasana harmoni

Di Malaysia, nilai keagamaan dan adat budaya menjadi teras utama dalam pengukuhan institusi beraja. Dari sudut Islam pula, agama ini menuntut umatnya mentaati penguasa kerana ia mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera.

Seperti sabda Nabi SAW bermaksud: "Sebaik-baik pemimpin adalah kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Sebaliknya, seburuk-buruk pemimpin adalah kamu benci mereka dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Lalu Baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita boleh memerangi mereka dengan pedang? Baginda bersabda; Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu. Jika kamu melihat sesuatu kamu benci daripada pemimpin kamu, maka bencilah perbuatannya dan jangan meninggalkan ketaatan kepadanya". (HR Muslim).

Begitu juga kedudukan Raja-Raja kita sebagai ketua agama Islam bagi negerinya manakala Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, menjadi ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta bagi negeri tidak mempunyai Raja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak menurut Perkara 3 Perlembagaan.

Jelas sekali, hubungan Raja dan agama Islam tidak boleh dipisahkan. Institusi beraja di Malaysia antara teras perpaduan digapai sejak awal kemerdekaan lagi.

Buktinya pada Perkara 153 Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta tidak lupa juga kepentingan sah kaum lain.

Sudah menjadi amanah dan tanggungjawab institusi beraja mengharmonikan dan mensejahterakan rakyat tidak mengira jenis warna kulit, kepercayaan dan budaya.

Justeru, institusi beraja di Malaysia perlu dikekalkan dan dipertahankan kerana ia menjadi teras perpaduan kaum daripada pelbagai etnik, agama, dan adat resam.

Sudah berkurun lamanya, masyarakat majoriti iaitu Melayu hidup dalam keadaan adat dan budaya serta beragama Islam. Maka, ia juga harus dipertahankan dan dilindungi supaya teras kepada moral, adab dan keagamaan kaum majoriti ini dikekalkan.

Sebab kedua adalah institusi beraja Malaysia berperanan sebagai pengimbang kuasa pentadbiran negara. Institusi beraja di Malaysia adalah pelengkap dan ia berfungsi sebagai pengimbang dalam melaksanakan dasar kepada rakyat.

Penerangan mengenai kepentingan institusi beraja perlu menjadi tanggungjawab pendidik supaya institusi ini dapat terus kekal di Malaysia.

Apa yang penting, perspektif antimonarki tidak sepatutnya tersemat dalam fikiran masyarakat Malaysia dan jika ada, jiwa golongan ini sebenarnya dipenuhi dengan sifat pemberontak.

Rakyat perlu sedar, segala tindakan ingin dilakukan termasuk gerakan antimonarki, akan memberi kesan kepada kerajaan termasuk institusi beraja.

Noraiman Suhaidi Norizam
Penulis adalah Pembantu Penyelidik Sosial Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM)



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo