KOTA KINABALU: Keratan berita yang tular di media sosial mendakwa kononnya Ketua Menteri Hajiji Noor dan timbalannya, Bung Moktar Radin bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin, petang semalam adalah palsu.
Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri Jaafar Abd Wahid dalam kenyataan, berkata gambar keratan berita itu sebenarnya adalah berita selepas pilihan raya negeri ke-16 (PRN16) pada 2020, namun ruangan tarikh berita disiarkan sengaja dipotong, dipercayai untuk mengelirukan pembaca.
Beliau berkata, keratan berita daripada portal itu sengaja disebarkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir dan tidak sepatutnya dilakukan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Saya menerima beberapa panggilan dan mesej bertanyakan kesahihan berita tersebut sedangkan pada sebelah pagi, saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur.
“Ketua menteri (Hajiji) pada hari tersebut pula berada di Kota Marudu dalam program Jelajah GRS (Gabungan Rakyat Sabah)…keratan berita ini disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial terutama WhatsApp sehingga menimbulan persoalan kepada orang ramai,” katanya di sini hari ini.
Semalam, keratan berita itu merupakan antara perkara menimbul persoalan tentang status Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan khabar angin mengatakan terdapat beberapa ADUN GRS bakal keluar parti mengikut jejak ADUN Bandau Wetrom Bahanda.
GRS dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 ADUN, berbanding pembangkang 25 ADUN.
Jaafar berkata, keratan berita itu telah dipergunakan lasykar siber atau ‘cybertrooper’ pembangkang bagi memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penyokong kerajaan terutama GRS dan BN berdepan PRU15.
“Saya meminta orang ramai agar jangan mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkannya sebelum mendapat kesahihannya,” katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment