KUALA LUMPUR: Baru menjengah pawagam tempatan semalam, filem seram Talbis Iblis mencetuskan kontroversi apabila kerajaan Brunei dilapor mengharamkan tayangan karya terbabit di negara berkenaan.
Keputusan itu agak mengejutkan kerana naskhah sentuhan Kabir Bhatia itu dikatakan menjadi filem Malaysia pertama diharamkan di Brunei, tahun ini.
Mengulas perkembangan itu, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai akur dengan keputusan Brunei kerana setiap negara memiliki peraturan sendiri.
"Kami terima surat rasmi memaklumkan filem Talbis Iblis tidak akan ditayangkan di Brunei dengan disertakan penjelasan. Setiap negara ada proses tapisan mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan dan kami akur dengan keputusan ini.
"Kami hormati keputusan ini dan percaya ia dibuat mengikut kriteria penapisan filem di Brunei. Mungkin ada beberapa elemen dalam filem ini yang tidak mematuhi kriteria ditetapkan," katanya kepada BH Online.
Gayatri bagaimanapun tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai pengharaman filem berkenaan.
Filem Tablis Iblis mengisahkan seorang gadis dikenali sebagai Hajar yang dihantar ke sebuah tempat jauh dari kota untuk melahirkan bayi secara rahsia.
Bidan, Mak Ju menjaga Hajar, namun dia mempunyai perancangan lain terhadap gadis itu.
Selain Zul Ariffin yang membawa watak Nasir, filem ini menampilkan lakonan hebat Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Sherie Merlis dan Jay Iswazir.
Diterbitkan Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment, filem Talbis Iblis ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Singapura sejak semalam.
Ditanya adakah Infinitus Gold akan membuat rayuan atau melakukan penambahbaikan terhadap filem itu agar dapat ditayangkan di Brunei jika diminta, Gayatri menjelaskan, syarikat tidak akan berbuat demikian.
"Apa sahaja keputusan yang dibuat, kami hormati dan terima dengan hati terbuka. Kami juga tidak akan membuat rayuan.
"Lagipun, ini bukan filem pertama saya yang diharamkan di sana. Pernah berlaku sebelum ini apabila filem yang saya hasilkan bersama Astro Shaw iaitu Hoorey Hoorey mengalami nasib sama.
"Justeru, apabila ia berlaku sekali lagi, saya anggap ini bukanlah isu besar dan saya okay sahaja. Cuma saya rasa ralat apabila ada penonton di Brunei yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menonton Talbis Iblis," katanya.
Terdahulu, maklumat filem Talbis Iblis tidak akan ditayangkan di Brunei dikongsi Times Cineplex Brunei menerusi akaun Instagram (IG) syarikat itu.
Entri berkenaan menyebut: "Maaf kalian, Talbis Iblis tidak akan ditayangkan di sini (Brunei) berikutan tidak lulus penapisan."
No comments
Post a Comment