NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Felda kini terbuka, bukan lagi 'fixed deposit' UMNO, BN - Penganalisis

Mazlan berkata, faktor isu yang dibawa parti politik memainkan peranan, kerana peneroka Felda khususnya, tentu mahu melihat sejauh mana pimpinan parti mampu menyelesaikan isu yang berbangkit dalam komuniti itu. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kawasan Felda tidak lagi boleh dilihat sebagai fixed deposit bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, Felda kini merupakan komuniti terbuka, sekali gus bakal memperlihatkan persaingan sengit antara parti-parti politik.
Katanya, Perkembangan zaman berikutan meluasnya media sosial dan internet yang boleh diakses hampir kesemua kawasan di Malaysia dan perkembangan warga Felda yang melahirkan generasi kedua dan ketiga, membuatkan Felda tidak lagi boleh dianggap sebagai fixed deposit.
"Pada PRU14 yang lalu Pakatan Harapan menang 13 kerusi, Bersatu menang tujuh kerusi dan Pas mampu menang lima kerusi. Ini menunjukkan bahawa Felda hari ini adalah satu komuniti yang sudah terbuka, walaupun pada asasnya sokongan orang-orang Felda kepada BN masih utuh.
"Lanskap politik pada PRU14 banyak dipengaruhi oleh peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam konteks pengundi di Felda. Hari ini Felda dalam konteksnya kita lihat berbeza dari satu kawasan ke satu kawasan lain.
"Sebagai contoh, Johor antara negeri yang terima urbanisasi luas, demografi di Johor yang menyebabkan cepatnya pengaruh kemodenan dan juga perubahan yang berlaku, sehingga Johor adalah antara negeri di mana tidak lagi selamat untuk UMNO dan BN.
"Ini kerana mereka lebih terbuka disebabkan oleh perubahan pemikiran orang-orang Felda, di mana generasi muda mereka lebih terbuka.
"Pahang pula masih menjadi kubu kuat UMNO dan BN, mungkin kerana hubungannya dengan sejarah pengasas Felda itu sendiri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Malaysia Memilih, pada Jumaat.
Tambah Mazlan, beliau berpendapat saingan paling kuat untuk BN dan UMNO ialah Perikatan Nasional kerana sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama memegang jawatan perdana menteri, yang dilihat melakukan banyak perubahan dan inisiatif yang menggembirakan warga Felda.
Namun begitu, faktor isu yang dibawa parti politik juga memainkan peranan, kerana peneroka khususnya, tentu mahu melihat sejauh mana pimpinan parti mampu menyelesaikan isu yang berbangkit dalam komuniti Felda.
"Antaranya adalah dilema yang dihadapi oleh peneroka apabila tiba kepada waktu penanaman semula.
"Kadang-kadang berlaku situasi di mana peneroka Felda ini merasa tidak mendapat kelebihan daripada perundingan dengan Felda, isu harga kelapa sawit apabila tiba musim di mana harganya jatuh di pasaran antarabangsa.
"Bagaimana pihak kerajaan membela nasib mereka, itu juga jadi satu pengukur," katanya sambil menambah, isu lain seperti survival generasi kedua dan ketiga, juga wajar diberi perhatian oleh parti politik.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo