KUALA LUMPUR: Perbuatan memfitnah dan mengata parti lain semasa berkempen demi meraih undi perlu dielak kerana ia mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.
Penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata individu yang menyebarkan fitnah tentang parti lain dan mengeluarkan kata-kata kesat semasa berkempen tidak layak diundi sebagai pemimpin.
Sebaliknya beliau berkata parti politik perlu lebih fokus menyebut tentang kebaikan partinya menggunakan bahasa yang baik seterusnya menunjukkan komitmen yang berterusan untuk membantu rakyat.
"Semua pengundi sekarang berpelajaran, jadi siapa yang suka memaki dan mencaci, tidak perlulah pilih parti tersebut. Demikian juga parti yang membawa fitnah dan tuduhan serta penipuan kepada masyarakat contohnya manifesto yang menipu," katanya kepada Bernama.
Ketika ditanya mengenai panduan berpolitik secara Islam, beliau berkata Rasulullah SAW merupakan panduan yang jelas iaitu ajaran al-Quran dan hadis perlu diterapkan dalam peribadi seorang pemimpin selain perlu belajar tentang siyasah syar'iyah (cara mentadbir kerajaan berasaskan undang-undang Islam).
Turut senada, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis berkata secara umumnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan bahasa kesat dilarang dalam Islam, bukan hanya semasa berkempen.
"Orang yang menggunakan kata-kata kesat adalah orang yang tidak berakhlak... orang yang mempunyai sifat sedemikian tidak layak menjadi pemimpin.
"Kita tahu politik ini sebahagian daripada agama, memilih pemimpin ini bukan satu benda yang remeh, ia membawa kesan yang sangat besar kepada negara. Kalau kita tengok negara maju adalah sebab pemimpin yang bagus dan amanah," katanya.
Beliau berkata seorang pemimpin negara perlu memiliki ciri-ciri amanah terhadap kepercayaan yang diberi rakyat, memberikan layanan yang adil kepada rakyat, mengelak perkara yang membawa kepada permusuhan, sanggup berkorban demi rakyat serta mempunyai niat yang betul dalam menyertai politik negara.
Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik sekali gus berupaya menaikkan seseorang yang jahat dan menjatuhkan seseorang yang baik.
Beliau menyeru semua parti politik supaya memperbaharui niat bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 sambil menekankan bahawa dua tunjang utama politik negara adalah rakyat dan agama.
"Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa 'janji Puteri Gunung Ledang' oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak.
"Isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara yang stabil, maju dan seimbang. Justeru, tidak ada kompromi bagi pihak yang memandang ringan soal agama," katanya.
Zulkifli berkata biarpun usik-mengusik merupakan perkara biasa semasa berkempen, adab dan akhlak perlu dipelihara supaya tidak keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial.
Di samping itu, menurutnya, beliau tertarik dengan sebahagian anak muda di aplikasi TikTok yang akan mengundi buat pertama kali, yang berusaha membuat penelitian menerusi Internet untuk menilai calon dan parti mana yang perlu diundi.
"Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti. Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada Allah melalui solat istikharah," katanya.
Menurut Zulkifli, rakyat mahukan pemimpin terbaik untuk negara dan masa depan generasi muda, bagaimanapun, secara realistiknya ia umpama memilih antara dua kelemahan.
"Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka mengutamakan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama. Selamat berkempen dan selamat mengundi. Dirgahayu Malaysiaku tercinta!," katanya.
Bulan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan kempen kesedaran hentikan fitnah di media sosial bagi membendung berita tidak benar yang semakin berleluasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ketika melancarkan kempen itu berkata ramai individu ingin menjadi wartawan seterusnya menyebarkan berita menerusi media sosial tanpa mematuhi etika kewartawanan demi mensasikan isu tersebut.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment