NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr Mahathir jelaskan mengapa sanggup 'jilat ludah' berdamai dengan Anwar


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa sekiranya tiada persefahaman dalam kalangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam satu video yang dimuat naik melalui akaun Twitter miliknya, bekas ahli Parlimen Langkawi itu mengakui perlu mengenepikan ego, sentimen peribadi dan permusuhan lama dengan bekas timbalannya, Anwar Ibrahim untuk “menyekat” kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

Beliau mengulas mengenai detik pertemuannya dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum PRU14 untuk memberi sokongan moral kepada presiden PKR itu dalam satu pertemuan bersejarah setelah 18 tahun permusuhan antara mereka.

"Semasa saya bertemu dengan Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Najib dan kerajaan Umno BN pimpinannya dari terus berkuasa.

"Ketika itu seluruh dunia melapor puluhan bilion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib tidak dijatuhkan, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun," katanya.

Formula itu ternyata berjaya apabila buat pertama kali, BN tewas di peringkat persekutuan setelah enam dekad menguasai pentadbiran Malaysia. 

Najib digantikan oleh Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

Namun kerjasama itu tamat setelah pertukaran kerajaan pada 2020, selepas Mahathir meletakkan jawatan akibat desakan beberapa pihak dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memberi laluan kepada Anwar.

Mahathir berkata beliau bersedia untuk memulakan langkah untuk berdamai dengan musuh-musuh lama, asalkan matlamat menyekat kemaraan “orang yang merosakkan negara” dapat dicapai.

"Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.

"Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai. Kejatuhan Najib menunjuk kita lakukan sesuatu yang menjayakan kita," katanya.

Menjelang PRU15, pembangkang dilihat berpecah kepada beberapa blok yang dikhuatiri akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada BN.

Kerjasama politik juga dicadangkan oleh pemerhati politik sebelum ini antara PH, Gabungan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membolehkan gabungan khemah besar itu menawan semula Putrajaya.

Bagaimanapun Anwar sebelum ini dilaporkan berkata tidak akan bekerjasama dengan Mahathir dan GTA.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo