Umno tidak memperjuangkan soal pemulihan ekonomi, penghapusan rasuah mahupun mengembalikan kestabilan politik, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya kata pengerusi parti Pejuang itu, agenda Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti adalah untuk membebaskan Najib Razak dan menggugurkan kes mahkamah membabitkan pemimpin parti itu.
Dr Mahathir berkata, perkara itu jelas berdasarkan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
"Tumpuan kerajaan Umno apabila menang ialah mendapat pengampunan bagi Najib dan menggugur kesnya yang sedang dibicara. Dengan itu ketua kleptokrat boleh pun menjawat jawatan perdana menteri.
"Kes terhadap Zahid akan digugur. Demikian juga kes-kes terhadap pemimpin BN/Umno yang lain. Inilah harapan Umno jika menang.
"Pemulihan ekonomi negara, penghapusan rasuah, pengstabilan politik, pertambahan peluang kerja, bantuan kepada rakyat miskin, mengatasi masalah orang Melayu dan kaum lain dan banyak lagi tidak disebut oleh Zahid, atau tidak diutamakan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa hanya Pejuang serta sekutunya yang tidak terlibat jenayah berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
"Sebaliknya Pejuang serta rakan-rakannya tidak terlibat dengan jenayah, berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
“Usaha akan dibuat bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
"Pejuang tidak bertanding kerana menyelamat diri atau untuk dapat duit," katanya lagi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment