Amanah dijangka kekal mempertaruhkan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad di parlimen Kuala Selangor sekiranya BN menampilkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon dalam PRU ke-15 nanti.
"Walaupun Dzulkefly sebelum ini isytihar undur diri untuk tidak bertanding, namun dia tukar fikiran sekiranya BN turunkan Tengku Zafrul di parlimen Kuala Selangor," kata sumber dalaman Amanah kepada Malaysiakini, hari ini.
Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penilaian calon Amanah pada Isnin lalu.
Sebelum ini Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan mengumumkan tidak menyertai pilihan raya umum kali ini dan dia juga menegaskan pendirian itu kekal walaupun BN menurunkan Tengku Zafrul.
Selain itu Amanah juga dijangka membuat perubahan kecil dalam meletakkan calon-calon pada PRU ke-15 nanti khususnya membabitkan kepimpinan utama parti.
Antaranya Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad diputuskan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang dimenanginya pada 2018.
Sebaliknya kata sumber itu, Khalid akan menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Titiwangsa.
"Khalid bakal bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, manakala parlimen Shah Alam belum diputuskan setakat ini dan berkemungkinan Ketua Amanah kawasan Shah Alam, Azli Yusof, akan dicalonkan," katanya.
Sementara itu, ketika diminta pengesahan berhubung statusnya pada PRU15, Khalid berkata dia “bersedia menyerahkan kerusi Shah Alam kepada muka baru”.
Dia juga berterima kasih kepada pengundi Shah Alam yang telah mengundinya selama tiga penggal sejak PRU12 pada 2008.
“Saya minta maaf atas kelemahan dan kekurangan yang pasti ada.
“Berkhidmat sebagai ahli parlimen Shah Alam satu penghormatan buat saya.
“Saya bersedia menyerahkan kerusi kepada ‘muka baru’, pelapis yang telah pun disediakan parti sejak sekian lama sekiranya itu yang diinginkan parti,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Perubahan calon
Sementara itu sumber memberitahu, Amanah juga membuat keputusan untuk membuat perubahan calon di beberapa kerusi parlimen yang dimenangi mereka sebelum ini.
Katanya, langkah yang diambil antaranya Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus diputuskan tidak mempertahankan kerusi parlimen Hulu Langat.
"Selain itu Amanah juga akan tampilkan calon baru di kerusi parlimen Tampin bagi menggantikan penyandangnya Hassan Bahrom yang tidak akan bertanding.
"Seorang lagi naib presiden Amanah tidak akan bertanding kali ini iatu Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) dan Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli (Lumut)," katanya.
Sebelum ini Siti Mariah dilaporkan berkata pemimpin parti yang berusia 60 tahun dan ke atas sedia berundur jika benar mereka tidak lagi diperlukan dalam parti.
Katanya keberadaan pemimpin yang veteran dalam Amanah adalah kerana pengalaman yang ada pada mereka.
Sementara itu sumber turut memberitahu Presiden Amanah Mohamad Sabu akan kekal bertanding di Kota Raja, manakala timbalannya Salahuddin Ayub mempertahankan Parlimen Pulai.
Selain itu katanya, dua lagi Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof dan Mahfuz Omar masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dan Pokok Sena.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment