NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP teringin, tapi tak pernah minta kerusi Changkat Jong, dakwa pemimpin Amanah


PETALING JAYA:
DAP didakwa tidak pernah menyuarakan hasrat mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong dalam rundingan di peringkat Pakatan Harapan (PH) Perak sebelum ini.

Naib Ketua Amanah Perak, Muhaimin Sulam mendakwa kerusi itu pada mulanya menjadi rebutan PKR dan Amanah, manakala DAP pula tidak menyuarakan hasrat bertanding, meskipun parti itu teringin.

Menurutnya, selepas perbincangan panjang, PKR memberi laluan kepada beliau bertanding di kerusi itu dan namanya diumumkan semalam untuk membawa cabaran PH Perak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kemudian, pada malamnya, DAP membuat pengumuman senarai calonnya di Ipoh. Ketika itulah, pertembungan antara Amanah dan DAP di kerusi Changkat Jong terbuka.

“Menurut sumber, ‘top three’ PH yang buat keputusan DAP bertanding di Changkat Jong. Tarikh tepat agak teka-teki, tetapi hanya dalam minggu ini.

“Jika begitu, ia menjadikan DAP bertanding 19 kerusi, PKR (21) dan Amanah 19 kerusi di Perak. Ia bukan sekadar angka, tetapi mempunyai nilai tertentu,” katanya dalam kenyataan.

“Top three” PH merujuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mengetuai tiga parti komponen dalam gabungan itu.

Loke turut mengakui keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tiga pemimpin atasan PH yang turut dihadiri Mohamad.

Semalam, DAP mengumumkan Badrul Hisham Badarudin sebagai calon DAP yang akan mewakili PH bertanding di kerusi DUN Changkat Jong, beberapa jam selepas Amanah menamakan Muhaimin.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, pertikaian kerusi itu antara Amanah dan DAP Perak pada PRU15 dijangka selesai selewat-lewatnya esok.

Katanya, parti itu akan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat hari ini atau esok bagi memuktamadkan calon di kerusi berkenaan agar tiada pertembungan antara parti komponen PH.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo