SIBU: DAP Sarawak akan terus menggunakan logo roketnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain menggunakan logo gabungan itu.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata keputusan itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi di negeri ini kerana mereka telah biasa dengan logo roket.
"Saya rasa pengundi Sarawak telah biasa dengan logo roket, jadi saya tidak rasa akan ada sebarang kekeliruan," katanya kepada media selepas pelancaran bilik operasi DAP Sibu, di sini hari ini.
Sementara itu, Chieng Jen berkata, DAP akan bertanding bagi mempertahankan enam kerusi di Sarawak yang telah mereka menang pada PRU14, dan cuba untuk memenangi lebih lagi.
Kerusi-kerusi terbabit adalah Mas Gading, Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sibu dan Sarikei.
"Kami akan mempertahankan enam kerusi dan bertanding di dua lagi kerusi yang kami belum menang, iaitu Serian dan Bintulu," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh mengundi, manakala penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
-- BERNAMA
No comments
Post a Comment