NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP berdepan kekangan sokongan ketika janji PRU14 tidak ditepati


DAP dilihat sudah mencapai had keupayaannya dalam meraih sokongan dan bilangan kerusi yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dalam tempoh beberapa minggu akan datang, ketika cakap-cakap tentang sokongan undi Cina kepada parti itu makin berkurangan akibat gagal memenuhi janji-janji pilihan raya sebelum ini.

Pada PRU14, DAP berjaya memenangi 42 dari 47 kerusi yang ditandinginya, berikutan gelombang sentimen anti kerajaan yang melanda seluruh negara berikutan skandal besar 1MDB di mana berbilion diselewengkan daripada badan pelaburan negara itu.

Malahan, DAP turut mengekalkan kerusi dimenanginya selepas Langkah Sheraton berlaku pada 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagi penganalisis politik Liew Wui Chern, kerusi yang disandang DAP adalah di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi Cina yang agak tinggi.

"DAP memenangi kerusi-kerusi ini," kata Liew, dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman kepada MalaysiaNow.

“Namun ia tidak boleh menyumbang kerusi lagi. Parti itu sudah capai hadnya dari segi undi dan kerusi yang ada majoriti Cina."

Menurut Liew, jika ingin menyumbang lebih banyak menjangkaui bilangan kerusi tradisinya, DAP perlu menumpukan perhatiannya ke kawasan campuran atau kerusi lain yang ada majoriti Melayu.

Malahan, katanya, sokongan terhadap DAP juga mungkin merosot di kerusi-kerusi yang dimenanginya.

Seorang bekas ahli politik kanan DAP yang bercakap dengan MalaysiaNow berkata parti itu kini berada pada tahap yang lebih lemah berbanding sebelum ini.

“DAP semakin kehilangan sokongan daripada kaum Cina berhubung isu pembiayaan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC),” katanya merujuk kepada langkah kerajaan PH yang mengurangkan peruntukan institusi itu sebanyak lebih 80% pada 2020, daripada RM5.5 juta kepada RM1 juta.

Bekas ahli politik itu juga memetik kegagalan PH menepati ikrar pilihan raya pada 2018 untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, yang menurutnya memberikan "tamparan hebat" kepada DAP.

“Bagi orang Cina, pendidikan sangat dekat di hati mereka,” katanya yang enggan namanya disiarkan. 

"Ketika DAP berkuasa, mereka tidak dapat laksanakan.”

Bayangan 'Dinasti Lim'

Susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober, PRU15 mesti diadakan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Selain daripada cabaran yang akan dihadapi semasa tempoh pilihan raya, DAP juga perlu keluar dari bayangan “Dinasti Lim”, merujuk Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang menguasai kepimpinan tertinggi parti sejak beberapa dekad lalu.

Kit Siang bersara daripada politik pada Mac lalu, sementara Guan Eng melepaskan jawatan sebagai setiausaha agung selepas berkhidmat selama tiga penggal. 

Jawatannya digantikan oleh Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, sementara Guan Eng dilantik menjadi pengerusi DAP.

Ketika dilantik, Loke berkata pelantikannya adalah permulaan "3G" atau generasi ketiga.

"Generasi pertama ialah Lim Kit Siang, generasi kedua Lim Guan Eng, yang masih berada di jawatankuasa eksekutif pusat bagi memimpin kami dan memberi ruang kepada pemimpin 3G seperti saya, Gobind Singh Deo, Steven Sim dan lain-lain untuk bersama-sama memimpin parti dalam mengharungi cabaran yang mendatang," katanya.

Memandangkan tempoh masa terhad sebelum PRU15 diadakan, bekas ahli politik DAP itu berkata ia akan menjadi "tugas berat" bagi parti itu dalam melaksanakan peralihan kepimpinan ini.

“Dengan mengandaikan ia dapat keluar dari bayangan Dinasti Lim, kepimpinan baru masih menghadapi masalah untuk meredakan kemarahan masyarakat Cina berhubung isu TAR UC,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pencapaian DAP selepas kembali menduduki kerusi pembangkang, mengatakan parti itu hanya menggunakan isu 1MDB dalam meraih sokongan.

Beliau juga memetik memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Ismail dan PH pada September tahun lalu, menyifatkan langkah itu sebagai "pembunuh utama" DAP.

"MoU itu adalah pembunuh utama bagi DAP dan PH," katanya. 

"Anda tandatangan MoU untuk sokong kerajaan, dan anda kutuk kerajaan pada masa yang sama. Anda juga kutuk Bajet 2022, dan selepas itu undi mereka.

"Ia tak masuk akal."

Dalam pada itu, Liew berkata PH dan DAP mesti berusaha untuk menyingkirkan apa yang disifatkannya sebagai "politik orang lama", terutama dalam usahanya meraih sokongan pengundi baru.

“Dari situ, ia akan beri pendedahan kepada Loke," katanya.

"Pupuk sokongan pengundi baru, dan buktikan DAP sudah berbeza sekarang."







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo