Pelumba VisionTrack Racing Team-Malaysia, Syarifuddin Azman pada sesi latihan bebas 1 Grand Prix Motosikal Malaysia PETRONAS 2022 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto NSTP/Osman Adnan |
SEPANG: Pelumba negara, Syarifuddin Azman bertekad untuk melakukan kejutan dengan berada di pentas podium dalam penampilan musim penuh pertama pada Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.
Lebih manis, dia yang juga dikenali sebagai Damok mahu mencapai kejayaan seperti dilakukan Khairul Idham Pawi yang mencipta sejarah meraih dua kemenangan pada musim sulung pelumba berkenaan di kancah Moto3 pada 2016.
Bagi Damok, sejarah dilakar Khairul itu tidak mustahil untuk 'diulang' sekiranya dia dapat memberikan tumpuan penuh kepada persiapan baik daripada sudut fizikal dan juga mental.
"Sudah semestinya saya nak pecahkan rekod itu," kata pelumba berusia 20 tahun itu. "Ia tidak mustahil untuk dilakukan kerana sekiranya dia (Khairul) boleh melakukannya, takkan saya tak boleh buat. Saya mesti kena buat juga."
Semalam, Damok diumum secara rasmi menyertai saingan kelas Moto3 untuk musim depan bersama pasukan MTHelmets-MSi dari Sepanyol sekali gus menjadi pelumba negara ke-10 yang beraksi secara sepenuh masa di pentas dunia.
Sebelum ini, antara pelumba yang pernah beraksi di pentas dunia secara sepenuh masa adalah Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Zulfahmi Khairuddin, Azlan Shah Kamaruzaman, Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin dan Zaqhwan Zaidi.
Untuk rekod, Khairul sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama negara yang memenangi perlumbaan Moto3 masing-masing di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman.
Pada musim ini, Damok sudah mengumpul 110 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan selain menyertai empat perlumbaan di Kejuaraan Dunia atas tiket wildcard termasuk di Grand Prix (GP) Malaysia, minggu ini.
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment