NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Covid-19: Malaysia berdepan gelombang Omicron XBB

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran bahawa Malaysia sedang berdepan dengan gelombang kecil Covid-19 varian Omicron XBB.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, gelombang itu dijangka menyebabkan negara merekodkan peningkatan kes dalam beberapa minggu akan datang.

"Sama ada ia menjadi gelombang besar, ia bergantung kepada tingkah laku dan tindakan komuniti," katanya ketika sidang akhbar perkembangan kes Covid-19 di KKM di sini pada Isnin.

Menurutnya, data harian menunjukkan bilangan kes baharu Covid-19 meningkat sebanyak 16.5 peratus, iaitu dari 14,525 kes pada minggu epidemiologi (ME) 42 kepada 16,917 kes pada ME 43 (23 hingga 29 Oktober).

"Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,00 penduduk juga menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus pada ME 43 berbanding ME 42," katanya.

Beliau berkata, kementerian berpandangan bahawa trend tersebut didorong oleh jangkitan varian Omicron XBB yang menjadi gelombang di Singapura baru-baru ini.

"Ia berdasarkan pintu sempadan terbuka dengan Singapura dan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Khairy berkata, penjujukan genom yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati terdapat empat kes Omicron XBB dikesan di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Kesemua kes adalah membabitkan rakyat tempatan berusia 25 hingga 51 tahun," katanya.

Ujar Khairy, satu daripada empat kes Omicron XBB itu merupakan jangkitan semula.

"Kesemua mereka telah menjalani isolasi selama seminggu dan kontak rapat telah dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, meskipun KKM gelombang Omicron XBB, namun ianya terkawal.

"Keseriusan gejala Omicron XBB tidaklah menunjukkan sesuatu yang membimbangkan," katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kementerian amat menyarankan rakyat mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan sesak terutamanya individu berisiko tinggi dan masalah imunisasi.

"Inilah yang dimaksudkan hidup dengan Covid-19, tiada lagi paksaan tetapi amat digalakkan," katanya.

Beliau berkata, KKM turut mengesyorkan agar parti-parti politik mengambil langkah selamat semasa menjalankan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Kalau melibatkan ziarah pesakit terlantar, tunjuklah teladan baik dengan memakai pelitup muka.

"Parti-parti politik juga digalakkan membuat pengumuman menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka sewaktu kempen di kawasan tertutup," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya telah menghantar syor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan proses pengundian dapat dijalankan dengan selamat.

"Ia akan diumumkan oleh SPR," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo