NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon PAS kini berlebihan, kata Takiyuddin


Walaupun belum memuktamadkan senarai calon untuk dipertaruhkan dalam PRU ke-15, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi gambaran tiada masalah untuk parti itu memberikan cabaran dan menggapai kemenangan.

Bahkan menurutnya, PAS kini mempunyai lebihan calon untuk diketengahkan.

"Pada dasarnya kita (PAS) tak ada masalah, calon-calon PAS telah pun dikemukakan (dicadangkan) oleh negeri-negeri kepada pusat. Sekarang kami nak menentukan siapa dipilih menjadi calon.

"PAS ada lebih calon, kita berlebihan (calon)... jadi kita akan pilih siapa akan jadi calon," katanya pada sidang media di selepas merasmikan pelancaran Go Digital peringkat Kota Bharu di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.

Penyandang kerusi parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika ditanya berhubung persediaan PAS dalam menghadapi PRU ke-15 yang akan berlangsung pada 19 Nov ini.

PRU ke-15 diadakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen pada 10 Okt lalu.

Takiyuddin juga berkata setakat ini PAS belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana ada beberapa faktor yang diambil kira parti terbabit.

"Kadang-kadang ada kerusi yang ditawarkan tapi PAS rasa tak sesuai untuk bertanding, maka kita tak bertandinglah," jelasnya.

Sementara itu ditanya mengenai 27 kerusi kritikal yang perlu dielak berlakunya pertembungan tiga penjuru, Takiyuddin berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan.

"Perbincangan berjalan antara parti-parti kecuali dengan PH.

"Apabila satu kerusi yang kita tak mahu berlaku tiga penjuru mestilah ada pihak perlu menarik diri, itu yang sedang dibincangkan sekarang ini," kata Takiyuddin.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo