NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukti DNA bebaskan banduan dipenjara hampir 40 tahun


LOS ANGELES:
Seorang lelaki dibebaskan daripada hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan atas dua pertuduhan cubaan membunuh di California, pada 1983.

Peguam daerah Los Angeles, George GascĆ³n, berkata Maurice Hastings, 69, dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara hampir 40 tahun berikutan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang tidak diuji sebelum ini, menunjukkan ia adalah milik individu lain.

Sabitan dan hukuman terhadap Maurice, dibatalkan ketika perbicaraan susulan permohonan dikemukakan pihak pendakwa raya dan peguamnya dari Los Angeles Innocence Project di California State University, Los Angeles, pada 20 Oktober lalu.

"Keadaan menimpa Maurice adalah ketidakadilan yang dahsyat. Sistem keadilan bukanlah sempurna.

"Justeru, menjadi kewajipan untuk kita bertindak pantas apabila maklum mengenai bukti baharu, menyebabkan hilang keyakinan terhadap sabitan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mangsa dalam kes itu, Roberta Wydermyer, maut susulan satu tembakan di kepala dengan mayatnya ditemui di dalam but kenderaannya.

Maurice didakwa dengan pembunuhan keadaan khas dan Pejabat Peguam Daerah memohon hukuman mati, namun juri menemui jalan buntu.

Dia disabit dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol oleh juri kedua, pada 1988.

Dia mengekalkan pengakuan tidak bersalah sejak ditahan.

Kenyataan itu berkata, air mani ditemui dalam mulut mangsa ketika koroner menjalankan pemeriksaan serangan seksual, ketika sesi bedah siasat dijalankan.

Maurice memohon untuk menguji sampel DNA, namun Pejabat Peguam Daerah menolak permintaan itu, pada 2000.

Dia kemudian mengemukakan tuntutan tidak bersalah kepada Unit Integriti Sabitan peguam daerah, pada 2021 dan ujian DNA mengenal pasti ia bukan miliknya, Jun lalu.

Profil DNA itu dimasukkan ke dalam pangkalan data negeri bulan ini, dan padan dengan individu disabitkan kesalahan penculikan bersenjata, membabitkan seorang mangsa wanita yang dipaksa menjalani persetubuhan secara oral serta diletakkan dalam but kenderaan.

Suspek yang namanya tidak didedahkan dijatuhi hukuman penjara selama 56 tahun bagi sabitan terbabit dan kini sudah mati.

Pejabat peguam daerah berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan polis bagi siasatan lanjut berhubung pembabitan si mati dalam kes itu. - AP



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo