NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bubar segera untuk selamatkan Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa masing-masing.

Presiden UMNO itu mendakwa, keputusan anggota Kabinet daripada PN itu kerana bimbang dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti.

"Begitu bersungguh 12 Menteri PN yang dikatakan tidak berputus asa untuk mengekalkan jawatan mereka dalam Kabinet. Betapa sayang mereka akan kedudukan dan jawatan yang ada sekarang hingga takut hilang kuasa mereka.

"Sudah pasti sebahagian besar mereka bukanlah pemimpin yang berwibawa. Tindak tanduk mereka sebelum ini mengecewakan pengundi sendiri. Ada yang kalah teruk pilihan raya, tetapi diangkat menjadi Senator lalu dilantik sebagai menteri. Bukan sebarang menteri akan tetapi menteri kanan.

"Wakil rakyat lain puluhan tahun dipilih rakyat dan berkhidmat tidak pula dilantik menjadi menteri kanan. Yang kalah pilihan raya ini pula diangkat menjadi menteri kanan, ada pula dilantik timbalan menteri," katanya menerusi di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pengkhianatan dilakukan mereka dengan melompat ke parti lain demi mendapat laba politik, jawatan dan kedudukan.

"Pengundi marah, ketika kempen PRU-14, bercakap berdegar-degar dan janji pula melangit. Kata demi pengundi, demi parti disayangi.

"Akan tetapi apabila menang, melompat ke parti lain dan yang menjadi menteri sekarang sedar bahawa peluang mereka untuk menang sangat tipis dan sangat takut berdepan dengan pengundi mereka dahulu.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo