PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yakin dapat memenangi lebih dua kerusi Parlimen di negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Musa Sheikh Fadzir.
Beliau berkata, selain mempertahankan kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang dimenangi gabungan itu pada PRU14, BN juga akan berusaha habis-habisan menawan Parlimen Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal.
Tiga kerusi itu dimenangi PKR pada PRU 2018.
“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi Kepala Batas dan Tasek Gelugor…kita juga akan cuba menang lebih daripada dua kerusi, itu sasaran BN,” katanya dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di George Town.
Pada PRU14, BN memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor menerusi Reezal Merican Naina Merican dan Shabudin Yahaya daripada Umno, namun Shabudin menyertai Bersatu pada 2020.
Bakhtiar Wan Chik kembali mempertahankan kerusi Balik Pulau dan Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh, kerusi tradisi keluarganya sejak 1982. Nibong Tebal dimenangi Mansor Othman dari PKR sebelum menyertai Bersatu pada 2020.
PH mendominasi kerusi Parlimen Pulau Pinang pada PRU14, dengan DAP memenangi tujuh kerusi, manakala PKR empat daripada keseluruhan 13 kerusi Parlimen di negeri itu.
Musa berkata, jentera pilihan raya BN sedia digerakkan pada bila-bila masa dan semua parti komponen juga dalam keadaan bersiap siaga.
Beliau yang juga ketua Umno negeri berkata, pengagihan kerusi Parlimen dalam kalangan parti komponen BN di Pulau Pinang telah selesai dan calon akan diumumkan Rabu ini.
Sumber | FMT Malaysia
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment