KUALA LUMPUR – Status sama ada kerusi Parlimen Muar bakal dipertahankan oleh penyandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diketahui Rabu ini.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia berikutan prinsipnya yang menghormati institusi kehakiman selepas diarahkan membela diri baru-baru ini.
“Status di Muar sama ada saya bertanding atau tidak, nantikan Rabu ini. Apa yang penting, saya menghormati institusi kehakiman dan akan berjuang menegakkan kebenaran,” katanya pada sidang media penamaan calon MUDA di sini hari ini.
Presiden MUDA itu berkata demikian bagi mengulas saranan sesetengah pihak agar beliau tidak bertanding pada PRU15 kerana sedang berdepan pertuduhan kes mahkamah.
Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau tidak akan berganjak untuk berhujah pada perbicaraan bermula 22 Februari depan.
“Berani kerana benar, saya akan berjuang demi kebenaran, institusi kehakiman telah beri peluang untuk saya untuk bela diri. Saya tidak akan membazirkan peluang,” ujarnya.
Semalam, penyandang Parlimen Muar itu diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan. – MalaysiaGazette
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment