KUALA LUMPUR: BERSATU memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata BERSATU juga mengambil maklum keputusan Majlis Presiden PH untuk tidak mengadakan kerjasama bersama parti itu.
"Berhubung laporan mengenai kerjasama BERSATU dan PH, BERSATU telah membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU15.
"BERSATU akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, GERAKAN, SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, selaras demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, BERSATU bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru pada PRU15 membabitkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti politik lain yang bertanding.
Khamis lalu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media memaklumkan gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam mendepani cabaran PRU15.
Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan BN.
Beliau bagaimanapun mendakwa kenyataan itu disalah tafsir sebelum disusuli dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil beberapa jam selepas sidang media itu yang menjelaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan PN.
Hari sama, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mengeluarkan kenyataan memaklumkan kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.
Beliau berkata, ia kerana Majlis
Presiden PH sebelum ini sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan
bekas Perdana Menteri itu atau gabungan yang dipimpinnya disebabkan
peranannya sebagai 'pengkhianat' dalam Langkah Sheraton.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment