NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berikan keadilan buat Cikgu Fadli Salleh!

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Kezaliman itu adalah penistaan terhadap hak dan karomah insaniah, kezaliman walaupun dilihat kuat namun ianya tak akan kekal ungkap Sayyid Qutb. Menyatakan kebenaran adalah harga yang paling mahal, berdada dengan tekanan dan tindakbalas yang tidak manusiawi. Setiap pemimpin wajib memerhatikan lahan kehidupan,antara keadilan dan kezaliman ,agar tak tersungkur pada pintu kehinaan dunia dan akhirat!.

Kepada Menteri Pendidikan , Dr Radzi Jidin tolong berikan keadilan buat Cikgu Fadli, telah lama sang pendidik ini bersuara dan memohon keadilan. Tolonglah , aku merayu. Kisah Cikgu Fadli Salleh telah mengimbau kembali kenangan aku menjadi pendidik dibawah regim BN dalam dekad 90an sehingga tahun 2008. Bukan menjadi rahsia bagi pegawai Pendidikan Siswazah dan bukan siswazah, di JPN, juga PPD terlalu ramai manusia pengampu ( aku tegaskan,bukan semuanya) ,bahkan juga dikalangan sesama pendidik yang akan memijak kepala kita untuk naik keatas. Dosaku dizaman muda sebagai Pegawai Pendidikan Siswazah hanyalah kerana memegang jawatan dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia dan DPP Wilayah Persekutuan, dengan pahatan taqdir berketuakan Pengetua pekat UMNO yang tak bercampur langsung dengan air!.

Ironinya yang membekalkan akhbar Harakah kepada pengetua sekolahku ialah kawan semeja minum yang obses ingin menaiki takah jawatan besar. Akhbar organ parti itu kadang ada fotoku tersekit, juga diari harakah memuatkan jadual ceramah dan program .Ahh, kejahatan tak selamanya mampu ditudung, maklumat itu akhirnya bocor,siapa dalang pengintip maklumat pergerakanku. Bahkan menggalang gelaran ustaz lagi,sang pembekal malumat kepada pengetua ( moga dia membaca status pagiku ini ,jangan risau kawan,aku sangat pemaaf)

Sisi gelap dalam perkhidmatan pendidikan penghung dekad 90an ialah untuk urusan kelicinan kenaikan pangkat mestilah kuat mendokong parti kerajaan. Bernafas dan ketawa dan aroma kebiruan yang tak bersahabat!. Keterbalikannya pula aku menguruskan demonstrasi demi demonstrasi di kotaraya atas sifatku sebagai Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sehinggalah Kamaruzaman Mohamad mengambilalih jawatan ini pada tahun 2007. Setiap malam berkeliling negara untuk berkuliah dan berceramah, jika tiada jadual di luar kota maka memenuhi jemputan kuliah masjid,surau ,pejabat dan kilang di Lembah Klang. Aku difahamkan dalam kursus2 BTN , ada penceramah memetik karektorku yang " makan gaji tapi siang malam ceramah melawan kerajaan". Naif intelektual !,aku mempraktiskan hak aku dalam Perlembagaan negara, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun,kebebasan menyatakan pendapat. Kerja hakiki aku lunaskan dengan baik malah mendapat APC pada tahun 2006.

Dekad itu memakai kopiah putih pun dilarang dan aku tak peduli larangan bodoh itu, apa kaitan kopiah dan kemampuan mengajar dengan baik? , satu ketika Menteri Pendidikan turun ke sekolah, beliau juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Pegawai atasan mencariku agar membuang kopiah putih seketika dan sehingga sekarang tak memahami apakah justifikasi larangan pemakaian kopiah putih. Keretaku dengan megah ada stiker bulan purnama,jamaah yang aku dokong sepenuh hati. Pelbagai sekolah Lembah Klang menjemputku untuk mengisi acara kebesaran Islam dan ini juga menimbulkan kedengkian. Hidup ini sangat tidak adil, jika tiada balasan ukhrawi memang kita akan kecewa!.

Tekanan demi tekanan aku hadapi , awal milenia penuh dengan aksi ceramah di kepong polis atau FRU dipelbagai tempat. Aku ingin menghantar surat untuk berhenti daripada jawatan pendidik namun Ketua DPPP pada masa itu Mahfuz Bin Umar tak membenarkan ( dia seorang ketua yang baik dan berani pada saat itu). Memenuhi jadual hidup dengan pelbagai program parti Islam bukanlah satu kerja yang mudah bagi penjawat awam. Permintaanku untuk menyambung pengajian prasiswazah MA dan PhD tak dibenarkan,sehingga aku mendaftar tanpa keizinan dan membiayai kedua pengajianku sendiri. 

Mengatur agar kuliah dan khutbah jumaatku sekitar Bangi agar masa yang ada dapat dimanfaatkan dengan sempurna ,bahkan duit sampul itulah aku gunakan untuk membayar yuran dan menampong kos pengajian yang lain. Terimkasih pihak masjid dan surau disekitar BB Bangi, sebahagian pengatur kuliah seperti Haji Ghazali Surau an nur, Haji Aziz SAPURA ( MAPPIM) telah berpulang ke negeri abadi.

Bagiku Cikgu Fadli jangan putus asa untuk terus berjuang, untuk membaiki sistem yang ada. Aku dahulu mendapat sembilan kali surat tunjuk sebab dengan pelbagai tuduhan termasuk tuduhan mengkafirkan kerajaan .( aku tidak pernah melakukan apa yang dituduh). Tuduhan lain seperti terlibat dalam penganjuran demonstasi demonstrasi ( yang ini aku mengaku,tapi adakah aku bersalah?). Juga 11 kali dipanggil naik turun soal siasat dan tribunal disiplin, ini belum dikira dengan pihak Cawangan Khas PDRM. Paling zalim tindakan kepadaku,dihantar berkursus kesihatan Mental . Aku meledak emosi saat mengetahui program itu bersifat pemulihan mental, aku menyoal kaunselor itu sehingga mengigil dan guratan wajahnya memucat. Aku bersurah kepadanya tentang right to be heard , hak- hak warga sivil dalam negara ini mengikut Perlembagaan, juga latar peribadi,latar akademikku sejak kecil." Maaf Ustaz,kami hanya mengikut perintah" dengan suara bergetar sang kaunselor KPM cuba mengharmonikan desahan batin. " demo tak kenal barey boh" aku dengan sedikit keriakan membumbung diri.

Dr Ishak Ibrahim , seorang doktor perubatan yang juga Setiausaha DPP Wilayah Persekutuan menasihatkan aku cara menjawab surat- surat tunjuk sebab. Kami mula mengenali zaman kampus kerana menumpang ilmu di Pondok Pasir Tumbuh. Perangai merusuh aku kadang menjengkelkan penyokong parti kerajaan, aku gagalkan dengan sengaja satu ceramah BTN yang cuba kaitkan PAS dan khawarij, menggigil sang penceramah daripada kampus UM yang biasanya isi ceramahnya tak diulas khalayak pendengar, sorakan bergema daripada 83 orang peserta kursus . Aku sepicing pun tanpa rasa bersalah merosakkan majlis indoktrinisasi kerajaan BN.Tak mudah untuk kerajaan memecat seorang Pegawai Pendidikan, hatta yang setahun tidak datang bertugas, menyakau wang PIBG, serta lain- lain kes. Prosesnya panjang termasuk right to be heard!

Cikgu Fadli Salleh bagi aku dan kita semua adalah mangsa ketidakadilan!, apa yang ditegur beliau sangat membumi dan ada kebenarannya. Dr Radzi , tolonglah selesaikan isu ini dengan baik dan cermat. Jangan ulangi ketololan regim BN zaman aku menjadi pendidik dan kawan- kawan aktivis yang lain. Contohnya Cikgu Abdul Wahab ,mantan Exco DPPP yang ditukarkan ke 34 buah sekolah,merata rini berkhidmat termasuk di Hulu Pahang. Pak Menteri kena ingat, Kesilapan anda akan merosakkan pandangan awam kepada parti BERSATU bahkan akan mengheret nama baik PN juga akhirnya. Itulah yang musuh politik mahukan. Ayuh semua teman- temanku,,sokong keadilan buat Cikgu Fadli Salleh,walaupun apa latar ideologi kalian,latar profesi,latar etnik dan kerencaman inilah yang menyatukan kita ,atas nama keadilan buat pendidik.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo