PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu semua calon dan penyokong parti mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Baginda berkata, calon mesti bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis.
“Dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka. Jauhkan sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa saja semasa berkempen.
“Sifat tersebut tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni. Ia bukan saja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam kenyataan.
Sultan Abdullah bertitah, kerjasama baik dari semua pihak penting, di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Baginda turut mengajak rakyat mendoakan PRU15 berjalan lancar dan selamat, serta rakyat sentiasa diberkati dan dirahmati daripada sebarang bencana serta musibah.
Terdahulu, SPR mengumumkan hari pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 Nov, dengan pengundian awal pada 15 Nov manakala penamaan calon pada 5 Nov.
PRU15 akan melibatkan pengundian bagi kerusi Parlimen di seluruh negara dan kerusi DUN di Perak, Pahang serta Perlis.
Turut diadakan serentak ialah pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah, yang kerusinya kosong selepas wakilnya, Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 17 Nov 2020.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment