NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beberapa muka lama DAP tak bertanding PRU15?


Sebilangan ahli Parlimen DAP yang sudah dikenali di kawasan mereka sejak beberapa penggal kini mungkin tidak akan menjadi calon pada pilihan raya akan datang, MalaysiaNow difahamkan daripada sumber dalaman parti.

Nama-nama pemimpin yang disebut termasuk Pang Hok Liong (Labis), Tony Pua (Damansara), Charles Santiago (Klang) dan Wong Ling Biu (Sarikei).

Mereka akan menyertai veteran parti Lim Kit Siang (Iskandar Puteri), yang menyuarakan persaraannya daripada politik pada Mac lalu, selain Ong Kian Ming (Bangi), yang berkata pada Mei beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mahu berehat daripada berada di barisan hadapan politik.

Satu sumber yang tidak mahu dinamakan berkata, "sekurang-kurangnya beberapa” akan digugurkan atau tidak akan menawarkan diri mereka sebagai calon pada PRU15 yang akan diadakan pada 19 November.

“Ada yang membuat keputusan dengan rela hati, dan ada yang diputuskan oleh parti,” kata sumber itu.

Perkara itu menjadi perbahasan apabila ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal, Kasthuri Patto mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusinya pada PRU15.

Beliau berkata ia adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin baru dalam DAP, menepis khabar angin yang mengatakan akan digugurkan sebagai calon.

"Kepimpinan parti memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan ini, tetapi selepas berfikir panjang, saya berpegang dengan keputusan saya dan mendapat sokongan penuh serta restu pimpinan parti yang benar-benar saya hargai," katanya.

"Terdapat khabar angin mengatakan saya digugurkan, namun ini tidak berlaku kerana saya sendiri berundur atas kerelaan sendiri."

Cakap-cakap mengenai perubahan dalam barisan calon turut hangat diperkatakan awal bulan ini, di mana laporan mengatakan DAP Selangor mahu menggantikan Santiago dengan Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Santiago, yang menjadi ahli Parlimen Klang sejak Mac 2008, tidak pernah memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan tersebut, walaupun berkata tidak merancang untuk mengosongkan kerusi itu.

Sementara itu, Pua yang memenangi kerusi Damansara pada PRU 2018, menyingkirkan Ho Kwok Xheng dari MCA dengan majoriti 106,903 undi.

Sebelumnya, beliau merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dari Mac 2008 hingga Mei 2018.

Manakala Wong memenangi kerusi Parlimen Sarikei pada PRU14, menewaskan Huang Tiong Sii dari Barisan Nasional-SUPP.

Bagaimanapun, menurut sumber parti itu, beliau juga turut berada dalam "senarai yang tidak akan bertanding".

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini membayangkan tidak semua ahli Parlimen partinya di negeri itu akan dipilih untuk mempertahankan kerusi, sambil berkata mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang semasa memegang jawatan itu akan "digugurkan".

Terdapat enam ahli Parlimen DAP di Sarawak: Chong (Stampin), Wong (Sarikei), Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling (Sibu) dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Sementara itu, kerusi Labis, dianggap sebagai kubu kuat BN-MCA sejak 1986.

Ia dimenangi dua kali oleh Chua Tee Yong dari MCA pada pilihan raya 2008 dan 2013.

Chua kemudiannya dikalahkan oleh Pang pada 2018 dengan majoriti tipis sebanyak 3,408 undi.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo